Isnin, 25 Mac 2013

Mintalah Fatwa dari Hatimu- Fatimah Syarha


Nabi Tahu Soalannya


 “Mintalah fatwa dari hatimu.”
Ini hadis Nabi. Nak faham hadis kenalah rujuk kitab syarah hadis. Sebelum itu, mari kita telusuri satu kisah yang melatari hadis ini.
Seorang lelaki bernama Wabishah bin Ma’bad r.h. datang berjumpa Nabi SAW. Belum sempat dia membuka mulut, Rasulullah SAW meneka,
“Kamu hendak tanya tentang kebaikan?”
Terkejut Wabishah mendengar tepatnya sangkaan Nabi. Wabishah yakin, Nabi tidak mengetahui perkara mendatang (termasuk perkara ghaib) kecuali apa yang Allah beritahu kepadanya. Ini satu mu’jizat. Wabishah lantas mengiyakannya.
“Benar!”
Baginda lalu menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa-apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa membenarkanmu.” (Hadis hasan riwayat Ahmad dan Ad-Darimi).
Hadis yang lain daripada an-Nawas bin Sam’an diriwayatkan Muslim dalam al-Bir wa ash-shilah, bab Tafsir al-birr wa al-itsm. Nabi mengajar kita, “Kebaikan  adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang meresahkan jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.”
Singkat dan padat. Begitulah istimewanya hadis ini. Kebaikan itu mencakupi semua perbuatan baik. Dosa pula mencakupi semua perbuatan buruk samada kecil atau besar.

Fitrah: Tenang Dengan Kebaikan, Resah Dengan Dosa

Salah satu (bukan satu-satunya) cara mengenal kebenaran ialah dengan fitrah. Buktinya, apa yang Nabi katakan dalam hadis ini. Kebaikan itu mententeramkan hati dan jiwa.  Allah yang maha baik menciptakan kita untuk mengetahui kebenaran. Kita tenang dengannya. Menerimanya.
Allah tanamkan tabiat kepada kita cintakan kebenaran. Bahkan, menurut kajian sains, apabila kita membuat kebaikan, hormon kortisol akan terrembes. Ia menyebabkan kita rasa seronok. Rasa nak buat lagi.
Kita lahir dalam keadaan baik. Suci. Bersih.
“Setiap anak Adam lahir dalam keadaan fitrah.” Abu Hurairah yang meriwayatkan hadis ini seterusnya membaca ayat al-Quran,
“(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” (Ar-Rum: 30).
Tatkala kita dilanda dilema,
“Ini baik ke buruk?”
Tanyalah hati, ia condong ke mana? Mana yang hati tenteram, itulah kebaikan. Apa yang hati tidak merasa tenang dengannya, itulah dosa bagi kita.  Meskipun dari sudut fatwa hal itu masih dibolehkan. 

Baik Bagi Orang Baik, Buruk Bagi Orang yang Dekat Dengan Allah

Ada perkara yang hasanatul abrar, wasayyiatul muqarrabin. Bermaksud, baik bagi orang-orang baik tapi buruk bagi orang-orang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Cuba lihat. Seorang ulama misalnya al-Qaradhawi memfatwakan alat muzik seperti gitar yang digunakan dengan syarat tertentu, hukumnya dibolehkan.
Peranan mufti antaranya memberikan batas ‘minimum’ tentang fiqah. Fatwa diberikan dengan melihat yang zahir. Berdasarkan ilmu bukan nafsu. Fatwa ini diberi secara umum untuk semua manusia, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Jika gitar itu difatwakan haram secara mutlak, sudah tentu masyarakat Islam di Eropah yang ‘bernafas’ dengan alat muzik sejak kecil akan mengalami kesempitan dan kesusahan dalam agama. Muzik pula menjadi fenomena di seluruh dunia tika ini.
Namun begitu, dari sudut amal, ulama ini memilih apa yang paling taqwa. Hatinya secara fitrah tidak menyukai bermain gitar. Maka, beliau tidak menggunakannya. Kerana, boleh jadi gitar itu baik bagi orang lain tapi buruk baginya.
Dari segi akhlak pula, beliau tidak pula merendah-rendahkan orang yang bermain gitar. Ramai pendakwah yang bermain gitar dengan  tujuan yang baik. Beliau berbaik sangka dan berlapang dada. Merendah-rendahkan orang yang melakukan perkara ‘harus’(baginya) kerana menyangka diri sendiri bertaqwa, tidaklah cocok dengan akhlak seorang muqarrabin.

Jika Ragu, Tinggalkanlah

Hadis ini mengajar kita agar meninggalkan fatwa jika ia bertentangan dengan hati dan menimbulkan keraguan di dada.  Imam an-Nawawi memberikan contoh kes.
Seorang perempuan memberitahu bahawa dia menyusu dengan si A.  Mufti berfatwa bahawa anak si A boleh menikahinya kerana tiada kesempurnaan dalam jumlah susuan. Fatwa tersebut masih tidak menghilangkan keraguan (syubhat). Sebaik-baiknya dia bersikap wara’ (hati-hati) walaupun manusia memfatwakan kebolehannya.
Jika fatwa dikuatkan oleh dalil syar’i, maka wajib bagi seorang Muslim mengambil fatwa itu dan berpegang dengannya, walaupun dadanya tidak senang menerimanya. Contohnya ketika Nabi memerintahkan para sahabat menyembelih binatang korban dantahallul pada umrah Hudaibiah. Sahabat sangat berat menerimanya tapi mereka akhirnya taat. Perintah Allah dan Rasul tidak boleh dibelakangkan hanya kerana menurut fatwa hati.

Isyarat Hati 

Sihatkan hati dengan banyak mengingati Allah. Kata Allah, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenang.”
Ada dua tanda dosa. Khusus untuk perkara yang kita samar tentangnya. Jika perkara yang jelas hujah dan dalilnya, itu soal lain. Dua tanda tersebut ialah:
1)      Tanda dalam- hati rasa benci, tak tenang, resah dan tertekan. Hadis sahih daripada Ibnu Mas’ud  menyebut, “Dosa itu menyakitkan hati.”
2)      Tanda luar- tidak suka diketahui manusia. Kebencian atas dasar agama. Bukan kebencian saja-saja.
Hadis ini menempatkan kedudukan hati di kedudukan yang istimewa dalam Islam dan boleh meminta fatwanya sebelum beramal.
Hadis ini juga memberi petunjuk untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia, kerana akhlak yang baik merupakan kebaikan yang paling besar.
                Syumulnya Islam. Ia menjadi pengatur dan pengawas internal dari dalam diri dan juga eksternal. Berbeza dengan undang-undang buatan manusia yang hanya menjadi pengawas eksternal.  
Jom sihatkan hati! Agar kita tidak memiliki raja yang ‘evil’ dalam kerajaan diri.

(Sila rujuk lanjut buku Al-Wafi, Syarah Hadis Arbain, Imam Nawawi, karangan Dr. Mustafa Dieb al-Bugha dan Syaikh Muhyiddin Mistu)

Siapa ORANG yang Allah cintai?

* Orang yang bertaqwa.Allah berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaqwa." (Surah al-Taubah 9:4)

*Orang yang cepat-cepat bertaubat. Allah berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah 2:22)

* Orang yang adil. Allah berfirman yang bermaksud," Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah 60:8)

* Orang yang bertawakal. Allah berfirman yang bermaksud, " Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya." (Surah Ali'Imran 3:159)

* Orang yang berbuat kebaikan. Allah berfirman yang bermaksud," Dan berbuat baiklah kerana Allah menyukai orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah 2:195)

* Orang yang berjuang pada jalan Allah. Allah berfirman yang bermaksud," Seseungguhnya Allah menyukai orang yang berperang pada jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah al-Saff 61:4)

Cinta High Class part 3


" Kalau tak bercinta, macam mana nak kenal hati budi dia?" " Couple tu haram ke? Habis, ramai orang bercouple tu bahagia?" " Bercinta tu berzina ke? Cinta lain, zina itu lain."

Ayat inilah yang selalu saya dengar. Saya mohon agar Allah bukakan pintu hati mereka-mereka dan membawa ke jalanNya. Saya selalu bertanya kepada diri saya, kenapa Allah mengharamkan couple. Jawapannya sangat mendalam dan menusuk hati saya. Saya yakin, setiap larangan Allah itu terkandung hikmah yang tersendiri. Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Maka kita sebagai khalifah di muka bumi ini mestilah selalu untuk nasihat-menasihati antara satu sama lain.

Buat muslimah yang masih remaja dan bakal melangkah ke alam remaja, tanggungjwab kita adalah belajar dan menuntut ilmu. Ilmu Allah itu luas dan tidak akan pernah habis. Carilah ilmu itu dimana-mana saja. Sekarang fokus kita bukan hendak bercinta. Adakah kita mampu untuk berjihad dalam menuntut ilmu sedangkan pada masa yang sama kita bercinta? Kalau hendak bercinta, kenalah tanya pada ulama, orang -orang yang lebih dulu makan garam tentang bagaimana hendak bercinta. Jangan melalaikan diri dengan perkara-perkara yang melalaikan. Itu termasuk dalam kategori zina.

Firman Allah yang bermaksud," Janganlah kamu menghampiri zina."
(Surah al-Isra)

Dalam konteks ini, zina mempunyai banyak bahagian. Contoh, zina mata seperti kita melihat seseorang yang ajnabi . Dengan itu, terbitlah zina hati iaitu kita akan mengingati seseorang itu tadi. Maka akan timbullah perkara-perkara yang mengkhayalkan. Akhirnya akan turun kepada zina tangan, iaitu bermesej-mesej dengan lelaki ajnabi, berpegang tangan dan seumpamanya. Wahai gadisku, elaklah daripada menghampiri zina kerana perbuatan zina itu adalah satu kebinasaan.

Firman Allah yang bermaksud, " Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka beribadah kepadaku"
(Surah al-Zariyat ayat 56)

Bercinta itu boleh menjadi satu ibadah. Cintalah kepada yang menciptakan kita, sang Khaliq.Dengan mengingatiNya, jiwa pun akan menjadi tenang. Insyaallah, cinta itu akan datang dengan sendiri. Fokus dalam pelajaran dahulu, seyelah berjaya mendapat ijazah dan pekerjaan yang baik barulah memikirkan soal cinta. Duhai gadisku, jangan terpedaya dengan hasutan syaitan yang mahu kita lalai dengan godaan dunia. Bersama-sama kita mendapat keredhaanNya. AMIN...

Puisi-Cinta High Class part 2


Gadisku,
Janganlah dikau terpengaruh dengan dunia,
Yang mahu lihat kau tewas dan berputus asa,
Kerna cinta manusia yang tidak kekal ,
Ke manakah Tuhan?
Jangan gadisku, jangan......

Gadisku,
Para syabab tunjang agama,
Jangan melalaikan mereka dengan cinta,
Bantulah mereka untuk mencintai Tuhan,
Kelak jika mereka kecundang,
Bagaimanakah?
Kepada siapakah mereka hendak mengadu,
Nasib yang tidak tentu arah....

Gadisku,
Jika kamu pernah bercinta,
Dengan selain Dia,
Katakanlah sesuatu,
Perkataan taubat itu....
Maafkan tinta duhai gadisku,
Tinta mahu menjauhi zina,
Kerna zina itu sebahagian daripada dosa,
Yang amat tinta takuti...

Gadisku,
Bertaubatlah,
Syaitan amat gembira melihatmu berbuat dosa,
Lawanlah ia,
Menuju redha Dia,
Yang akan membuatmu bahagia,
Percayalah......

Gadisku,
Jika mahu bercinta,
Pintalah dengan cara yang baik,
Bercouple itu salah duhai gadisku,
Adakah itu akan membuatmu bahagia?
Tinta mahu menasihati sesama kita,
Untuk menjauhi dosa.....

Marilah sama-sama kita cinta kepadaNya..
Kelak akan bahagia selamanya...

Hayatilah firman Allah yang bermaksud : Janganlah kamu menghampiri zina.(Surah al-Isra).Ayat ini menceritakan bahawa menghampiri zina itu sudah berdosa, jika berbuat zina apatah lagi.. Nauzubillahi min zalik..


Istiqomah memelihara amanah


Sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: " Tiga petanda orang munafik; apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkirinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya."

Di sini jelas dan tidak diragui lagi akan sikap orang munafik yang digambarkan oleh hadis Rasullullah s.a.w. itu. Munafik-hipokrit membawa maksud ketidakjujuran seseorang terhadap agama Islam yang dianutinya. Percayalah, tiada tempat untuk orang munafik di syurga kelak. Begitulah jika seseorang itu tidak jujur , ' lari' daripada tanggungjawab , terlalu banyak alasan , akan bercakap di mulut lain dengan di hati, maka tiada syak lagi bahawa jiwanya mesti dicuci dengan pencuci hipokrasi yang berjenama.... iman.

Bagi kita yang memegang amanah Islam, andainya mempunyai kenalan sama ada saudara mara atau sahabat handai yang mempunyai sifat itu dengan jelas, maka kewajipan kita melunaskan amanah dengan memperingatinya dengan seruan amal kebaikan. Jika kita gagal melakukannya, maka kita juga telah mengkhianati dan memungkiri amanah yang telah diberi sebagai seorang Muslim.

Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban, daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud," Tiada keimanan bagi orang yang tiada amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang pada janji."

Ingatlah, walau sebanyak mana pun amalan dan ibadah yang dilakukan, sebanyak mana pun ilmu yang dituntut, dan sebanyak mana pun kebaikan yang dicurahkan, andainya semua itu untuk menunjuk-nunjuk maka amanah sebagai seorang Muslim hanya tinggal harapan. Nauzubillah..

Perolehlah sifat yang baik serta dengan niat suci agar kita berikhtiar bersama-sama menyampaikan hanya yang baik-baik( bermanfaat di dunia dan  berbekal di akhirat) dengan saling memperingati. Dengan izin Allah s.w.t. kita mengharap rahmat atas ilmu yang dikurniakan sehingga dapat merealisasikan amanah yang diberi. AMIN.....

Nasihat Imam Abu Hanifah


* Jangan bakhil atau kedekut kerana perangai itu memalukan.

* Jangan pula tamak dan berdusta, bahkan hendaklah sentiasa menjaga maruah.

*Sentiasa menghormati dan memohon maaf kepada guru juga pendidik.

* Sentiasa menziarahi kubur guru dan juga tempat -tempat berkat.

*Bercampur dengan orang yang tidak baik hanya untuk menyeru ke jalan Islam.

*Jangan banyak memaki hamun dan mencela orang lain.

* Bersegera ke masjid apabila terdengar seruan azan.

* Jagalah rahsia jiran tetangga dan jangan menyebar rahsia yang diamanahkan.

*Bencikan perkara yang hina di sisi orang berilmu.

*Janganlah banyak bercakap atau bercerita kerana ia akan menjadi pembohongan.

      " Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhan-Ku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhan-ku."
(Surah al-Kahfi ayat 109)

Ahad, 24 Mac 2013

Hadis Pilihan II


Rasullullah SAW tidak pernah jika disakiti. Namun, jika hukum Allah dilanggar, maka Baginda akan marah kerana Allah.
Riwayat Muslim.

Sabda Rasullullah, " Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya." Sahabat bertanya, bagaimana ia mencuri dalam solatnya? Baginda menjawab : Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya."
Riwayat Imam Ahmad

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka beribadah kepadaKu.
Surah al-Zariyat( ayat 56)

Hadis Pilihan


Wahai orang yang beriman, jauhilah oleh kalian kebanyakan prasangka,(kerana) sesungguhnya sebahagian prasangka adalah dosa.
Surah al-Hujurat (ayat 12)

Pemimpin yang terbaik antara saudara adalah mereka yang saudara kasihi dan mereka pun kasih kepada saudara . Juga mereka yang mereka doakan kebaikan baginya dan mereka pun mendoakan kebaikan bagi saudara.
Riwayat Muslim

Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Surah al- Ra'ad (ayat 28)