Rabu, 26 Disember 2018

SongAya I

Kepalanya terasa pening dan memusing. Aya cuba untuk mengurut kepalanya supaya sakit itu berkurangan. Pandangan matanya sedikit demi sedikit mulai kabur. Dia cuba untuk menahan rasa sakit itu supaya tidak menyusahkan Kak Nour yang berjalan di hadapan.

 "Aya, ikut kakak okay. Jangan nak pergi tempat lain pula. Kalau tidak, kakak denda kamu tak boleh masuk rumah."


Aya hanya mengangguk dan tidak membalas sepatah kata pun. Dia seperti tidak menghiraukan pesanan Kak Nour kerana lebih tertumpu kepada kepalanya yang sakit.  Aya melihat Kak Nour berjalan jauh tinggalkan dia di belakang, lalu mengambil laluan sebelah kiri.

Aya sempat melihat dengan mata kasar Kak Nour pergi ke bilik tetamu yang berada di tingkat atas sebelah kiri.  Dia cuba meluruskan tangan kanannya untuk memanggil Kak Nour namun gagal. Akhirnya, dia tidak dapat menahan lagi kesakitan di kepalanya lalu badannya menyembah bumi dan dapat merasakan kepalanya terlanggar sesuatu yang berat. Aya jatuh tangga!

'Baru puas hati aku! Kau ingat kau berada dalam rumah ni kau boleh pujuk lelaki pujaan aku tu nak bersama dengan kau ke? Cermin diri tu dulu. Song tu milik aku!'  Dan perempuan itu berlalu pergi setelah berjaya menolak Aya jatuh tangga dari tingkat atas.  Darah mengalir keluar dari kepala Aya dan perempuan bernasib malang itu tidak sedarkan diri.
*** 

Tuan Muda Song  selesai solat Zuhur dan melipat sejadah untuk diletakkan di atas almari pakaian. Kelihatan pemuda tinggi lampai itu sangat segak walaupun hanya berbaju Melayu merah jambu dan berkain pelikat sahaja. Kemudian, dia terpandang rekod kewangan yang dihantar Aya di atas mejanya sebelum perempuan itu meninggalkan Villa Arkana. 'Boleh tahan juga perempuan ini buat kerja. Tak sia-sia nenda ambil dia sebagai pekerja. Tapi sayang, hari ini adalah hari terakhir dia bekerja dekat villa.'

Tiba-tiba pintu diketuk kuat dari luar. "Masuk."  Arman, pembantu peribadi Tuan Muda Song datang menemuinya dalam keadaan tergesa-gesa dan nampak cemas. Nafas turun naik menyebabkan Tuan Muda Song berteka-teki apa yang ingin disampaikan oleh Arman.

"Ada apa Arman? Nampak cemas je ni. Nenda panggil ke?" tanya Tuan Muda Song.

"Aya jatuh tangga tuan. Aya jatuh tangga! Bella tolak dia sampai jatuh."

Tuan Muda Song meletakkan sejadah itu di atas meja peribadi dan berdiri dengan cemas. 

"Bawa saya berjumpa dengan Aya sekarang! Sekarang Arman, sekarang!" Nampaknya, sejadah itu tidak sempat diletakkan di dalam almari pakaian.

Mereka berdua keluar dari bilik bacaan Villa Arkana di tingkat dua sebelum menemukan Aya dalam keadaan tidak sedar dan kepalanya berdarah di tangga villa. Tuan Muda Song memeriksa keadaan Aya. "Aya, Aya bangun Aya!"  "Tuan, ada darah...." kata Arman sambil menunjuk ke arah tangga yang mempunyai kesan darah.

Tuan Muda Song sekali lagi menggerakkan Aya supaya sedar namun tiada respon yang diberikan.

 "Arman, kita bawa Aya ke hospital diraja sekarang. Keadaan dia dah tenat."

"Baik tuan. Saya akan beritahu Tuan Arkana dan Puan Leanne tentang keadaan Aya."  "Beritahu sekarang Jangan lupa beritahu  Kak Nour supaya dia datang teman Aya dekat hospital."

"Baik tuan."

Tuan Muda Song mengangkat Aya lalu turun ke tingkat bawah. 'Aya, tolonglah jangan sesuatu yang buruk berlaku pada kau. Aku...aku ...mahu kau selamat je.'  Aya dimasukkan ke dalam van hospital diraja dan bunyi siren dari kenderaan memecah keheningan Villa Arkana.
 


Rabu, 19 Disember 2018

Impianra I


Arra Sephia membuka sampul surat berwarna biru yang dihantar oleh Islah kepadanya.  Surat biru itu sudah penuh terkena darah  namun isinya masih boleh dibaca lagi. Dia cuba untuk menahan air matanya daripada keluar. Isi kandungan surat tersebut diamati dan dibaca baris demi baris. Arra Sephia membuka purdahnya dan mula membaca di luar pintu ruang utama istana. Suasana di dalam istana Hrysos dipenuhi oleh suara tangisan kerabat diraja dan rakyat diraja yang menangisi kematian Islah yang ditembak dalam peperangan Hrysos menentang kerajaan Diamond.

Setelah semua isi surat itu dibaca, Arra memandang ke dalam ruang utama istana. Dia mengotakan janjinya untuk tidak sesekali masuk ke ruangan itu selagi Hrysos tidak diisytiharkan menang. Dia sedang menunaikan janji itu sekarang. Titah Ratu Hrysos, Ratu Erizabeth masih terngiang-ngiang di telinganya sehari sebelum dia berangkat ke medan perang.

"Jika kita tidak menang, beta tidak izinkan Arra masuk ke istana."

Dan titah itu diterima dengan lapang dada. Arra Sephia akan ke biara untuk melihat kembali keadaan medan pertempuran. Hanya di biara sahaja keadaan masih selamat dan terkawal untuk askar yang memegang busur panah. Badannya cedera dan penuh dengan kesan luka itu hanya dibalut dengan kain. Surat itu disimpan rapi dalam kocek jubahnya.  Dia sama sekali tidak menyangka maklumat dalam surat itu sebenarnya sangat penting. Timbul persoalan, bagaimana Islah boleh menyimpan maklumat yang berguna itu sebegitu lama?

Arra Sephia memandang kawan-kawannya yang berada di ruang utama istana. Di celah-celah mereka ada El Khori bersama. Mereka semua tidak mampu utntuk memanggil dia masuk ke dalam kerana janjinya kepada Ratu Erizabeth. Arra Sephia tidak dapat melihat pemergian Islah buat kali yang terakhir. Pandangannya mulai berkaca dan air matanya mulai jatuh. Dia amat berterima kasih kepada Islah kerana bersama-sama berjuang untuk menentang pengikut Ratu Diamond walau di saat akhir.

" Bongkarkan kejahatan Emily dan Han. Jangan biarkan rakyat kita bermandi darah lagi. Bila aku mati, semadikan aku bersebelahan dengan makam Tengku. Aku mohon. Aku cinta kau, Sephia."  

Kata -kata terakhir Islah membuatkan Arra Sephia menangis dan mula menumbuk-numbuk dadanya.  Perasaan sakit kehilangan Tengku Hafiz masih belum pudar, dan sekarang dia diuji dengan kematian sahabat baiknya, Islah. Dari jauh dia mendengar Ratu Fathi merayu kepada Ratu Erizabeth untuk berjumpa dengannya namun dihalang oleh Maytinee.  Arra Sephia lari bersembunyi di balik pintu luar ruang utama istana.

"Eriza, izinkan aku berjumpa dengan Sephia. Tolonglah Eriza. Setidak-tidaknya bagilah aku masa untuk beri Sephia berjumpa Islah buat kali terakhir. Tolonglah aku Eriza..."

"Maaf, Fathi. Arra Sephia sudah berjanji dan dia mesti kotakan janjinya. Beta tak izinkan dia berjumpa dengan Islah!"

"Tolonglah izinkan Sephia melihat wajah Islah buat kali yang terakhir, Eriza. Tolonglah...Aku merayu."

Air mata Arra Sephia jatuh lagi mendengar rayuan nendanya, Ratu Fathi.  Kakinya cuba untuk berpatah balik untuk melihat wajah-wajah orang yang disayangi, namun janji tetap janji. Dia tetap tidak boleh membiarkan rakyatnya mati lagi di tangan Ratu Diamond. Ratu Erizabeth membiarkan perkara itu terjadi, menjadikan dia sebagai tebusan kerajaan Diamond dan sekarang dia dihalang untuk berjumpa dengan Islah buat kali yang terakhir.

"Beta tak izinkan Fathi! Waktu tiga hari masih belum selesai. Arra Sephia perlu kembali ke medan pertempuran sekarang juga. Beta sendiri akan uruskan pengebumian Islah. Arra Sephia, beta titahkan untuk  pergi tinggalkan istana Hrysos sebelum beta sendiri akan jalankan hukuman sebat ke atas kamu!"

Tangisan dan jeritan rakyat yang meratapi kematian semakin kuat. Tak kurang juga ada yang melutut supaya mengizinkan Arra Sephia dan Arif yang menguruskan pengebumian Islah. Namun, askar-askar Ratu Erizabeth pantas mengambil tindakan dengan menghalang pintu ruang utama istana daripada dimasuki orang.  Ratu Fathi pasrah dengan arahan daripada Ratu Erizabeth. Sungguh kejam pemimpin Hrysos ini sehinggakan pewaris takhta sendiri dihalang untuk berjumpa dengan sahabat baiknya sendiri. Tubuh kaku Islah ditutup dengan kain putih di hadapan seluruh kerabat istana dan juga rakyat jelata membuatkan Arra Sephia tidak dapat menahan tangisnya sekali lagi.

Keputusan Ratu Erizabeth akan membuatkan Arra Sephia semakin tidak dipeduli malah dia hanya dipergunakan sahaja untuk kepentingan kerajaan Hrysos. Dia perlu bertahan untuk terus hidup jika dia mahu melihat wajah nenda Fathi lagi. Dia perlu kembali dengan selamat jika dia mahu membuka kembali kes kematian Tengku Hafiz serta kecurangan Emily dan Hannah terhadap kerajaan Hrysos.

Arra Sephia mengelap air matanya dan berlari turun dari tangga istana Hrysos. Dia perlu kembali ke medan peperangan sekarang. Tidak selamat jika dia membiarkan Arif sendiri yang menguruskan semua itu sendirian.

 'She was their friend and she betrayed them. She was their friend!!!' raung hatinya sekuat-kuat yang mungkin. Pintu persahabatan ditutup serapat-rapat yang boleh mengenangkan nasib Hrysos yang bagai telur di hujung tanduk sekarang. Jika dia sebagai pewaris takhta tidak melakukan sesuatu, Hrysos bakal menjadi tanah jajahan kerajaan Diamond.

"Arra lakukan semua ini bukan untuk nenda. Tapi untuk rakyat kita. Untuk Tengku Hafiz. Maafkan Arra.  Apakah nenda memikirkan perasaan Arra dan seluruh rakyat jelata? Mereka memerlukan nenda untuk membatalkan perjanjian antara Hrysos dan Diamond. Tapi nenda degil dan jadikan Arra tebusan. Hari ini, kita menyaksikan kematian Islah. Cukuplah kita jatuhkan darah rakyat yang tidak berdosa untuk Diamond. Mulai dari hari ini, Arra akan uruskan Hrysos ini sendirian!"

Dia memandang El Khori dengan pandangan yang berkaca-kaca. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menitiskan air mata pun di hadapan El Khori. Kelihatan pemuda tinggi lampai dan berkaca mata itu berdiri dan memandangnya di atas ruang utama istana. Cukup dengan pandangan sekilas, Arra Sephia memakai kembali purdah coklatnya dan berlalu pergi. 

 El Khori cuba untuk mengejar namun gagal kerana Arra Sephia pergi dengan menaiki kuda perang berwarna putih.

" Aku tahu, pasti sakit kehilangan sahabat yang dari dulu ada bersama kau dan kau tak dapat untuk berjumpa dengannya buat kali yang terakhir. Aku akan cuba rungkaikan misteri surat yang kau hantarkan dekat aku Arra. Aku akan cuba bantu kau sedaya upaya aku. Cuma, apa lagi yang kamu cuba sembunyikan dari kami semua Arra?" getus El Khori sendiri.





Selasa, 18 Disember 2018

Kenapa Saya Selalu Dengar Dan Pilih Lagu Instrumental?


Majoriti lagu yang saya dengar kebanyakan lagu instrumental. Banyak faktor, salah satunya cepat idea masuk nak buat novel, cerpen atau puisi. Kalau lagu tu sedih, lagi cepat hahaha. Kedua, lagu instrumental banyak yang menenangkan bila dengar. Berbeza kalau ada penyanyi, certain lagu jadi serabut dengar (in my opinion lah).

Tapi, lain orang lain persepsi dia kan. Itu pun kena raikan juga. Kalau semua nak ikut pendapat kita, susah jugak.  Ketiga, dapat membayangkan scene yang boleh masuk dalam novel. Novel atau cerpen kena rajin elaborate satu-satu. Tak boleh terus straight to the point kadang-kadang. Saya bagi contoh:

Buku catatan itu hanya mampu dipandang sahaja oleh Nia tanpa ada usaha untuk mengambilnya.
(Ini ayat biasa)

Ayat kedua pulak:
Buku catatan berwarna coklat tua itu hanya mampu dipandang sekilas oleh Nia tanpa ada usaha untuk mengambilnya yang hanya beberapa meter dari tempat tidurnya.
(Ada beza kan?)

Jadi, kalau orang cakap penulis ni kerja senang dapat duit, anda salah.
Pertama, masa kami depan manuskrip sangat lama. Ada yang kurang tidur pun.

Kedua, masa nak mengedit manuskrip sangat lama. (check ejaan, tanda baca dsb). Boleh stres tambah-tambah kalau bilangan muka surat 500-1000. Cubalah bayangkan sendiri.

 Ketiga, bila manuskrip ditolak oleh penerbit, perasaan dia hanya Tuhan je yang tahu. Rasa lagi frust dari putus cinta. Trust me.

Keempat, idea kena lain dari yang lain. Sebab editor bukan baca karya kita je. Berlambak karya orang lain yang dia dah baca.

Kelima, genre kena jelas. Jangan lari dari tema. Sinopsis kena tahu dari a-z lepastu kena senarai secene dari bab by bab.

Nampak tak? Jangan just bagi andaian kerja penulis ni senang ya. Manuskrip saya pun dah banyak kali ditolak sebelum diterbitkan. Huh!
Sebab tulah, lagu instrumental bagi saya sangat membantu hehe.

Okay, nanti saya share perkara lain pulak. Cuba bagi isu, mungkin saya akan kupas panjang lagi. Bye!




Isnin, 17 Disember 2018

Jiwaku Sudah Lama Pergi

Tatkala dia pergi
Aku meratapi
Tujuh tahun berlalu pergi
Dan aku masih sendiri


Jiwaku sudah lama pergi
Menangisi hati yang telah lama dilukai
Sesungguhnya aku mencintaimu separuh mati
Namun aku meletakkan Tuhan melebihi semua ini


Puisi ini kukarang khas untukmu pemilik hati
Terima kasih sekali lagi
Kerna menghiasi selama ini
Walaupun engkau sudah tiada lagi

11.23 p.m, 17/12/2018
Arra Sephia Irdinah



Jumaat, 14 Disember 2018

Hiba

Hiba

Cuba kau jenguk dari jendela
Insan-insan tertawa
Jelas sekali kau juga terpesona
Akan mereka

Berhenti hiba
Cari langkah-langkah tiada kuota
Berhenti tapi jangan menggila
Agar kau bahagia

Aku dedikasikan ruang gembira untukmu
Supaya mudah untuk kau tuju
Dan tertutup sudah pintu menipu...




Khamis, 13 Disember 2018

Kenangan

Kenangan

Terkadang aku larut dalam keheningan malam
Mengecam satu persatu kejadian Tuhan
Dari sekecil tapak tangan
Akhirnya membesar memenuhi ruang dunia

Aku berfikir dan berfikir
Di mana harus aku simpan memori
Di dalam diarikah?
Atau aku campak sahaja?
Kusut dan semakin kusut
Ah!

Tangan yang mampu menulis
Ku lakarkan semula perjalanan hidupku
Dalam novel cinta suci
Kudrat yang tersisa
Ku gagahi jua
Hanya untuk seseorang yang kucinta

Bawalah cebisan-cebisan kenangan
Yang kutinggalkan...


 Arra Sephia Irdinah, 1.26 p.m
 14/12/2018





Insan

Insan
Ketika kau tegak berdiri
Menyamai leher burung jenjang
Sahih yang tidak dapat disangkal lagi
Cuma jangan kau berdebat panjang
Kelak hasratmu nanti tiada terganti

Insan
Kau pinjamkan kudratmu untuk diri sendiri
Tiada takut dalam hati
Walau luka dan nanah silih berganti
Kau harunginya dengan pasti

Insan
Kau katakan yang kau kuat
Tapi di mana buktinya?
Kau kata ianya berada di lereng-lereng bukit
Namun akhirnya akan menjadi debu dan cebisan ditiup angin

Insan
Kau katakan yang kau kuat
Tapi di mana buktinya?
Kau kata ianya tersembunyi di dasar lautan
Namun akhirnya lemas menjadi ketakutan buatmu

Insan
Kau katakan yang kau kuat
Tapi di mana buktinya?
Kau kata ianya di dalam tanah
Namun akhirnya akan runtuh dimamah bumi

Insan
Aku ingin katakan
Kekuatan itu datang dari kita sendiri
Usah kau mencari bukti
Semua jawapan ada dalam sanubari

Insan
Aku ingin katakan
Kekuatan itu datang dari pilihanmu sendiri
Usah kau pertikaikan lagi
Semua jawapan ada untukmu datang dan pergi

Arra Sephia Irdinah, 11.18 p.m.


#ASWrites
#ThankYouForTheGifts
#LotsOfLove
#WillBeFineSoon




2018 Tahun Penuh Warna dan Duka

Assalamualaikum readers. 

Setelah dua tahun menyepi, akhirnya tibalah masa untuk menulis kembali. Banyak peristiwa yang berlaku selama dua tahun ini yang tak dapat aku luahkan dan fahami. Penuh warna dan duka yang kedua-duanya tidak akan aku ceritakan di sini. Cukuplah hanya empunya diri yang menyimpan semua diari hidup di dalam hati. 

Aku sama sekali tidak menyangka tahun ini mengubah aku tentang persahabatan. Benar kata Maytinee, kawan boleh jadi sahabat, tapi boleh juga jadi lawan. Bila kau berada di atas, perlu ingat kau juga ada musuh yang bila-bila masa akan mencantas.

Cukuplah aku menganggap Maytinee adalah sahabat baikku dari dulu sehingga sekarang. Terima kasih May kerna selalu ada di sisi tak kira susah atau senang. Paling tidak, bantu aku tolong selesaikan kes Drea yang tikam dari belakang dan buat sesuatu di luar jangkaan tujuh tahun lepas. 2018 merupakan tahun yang begitu memenatkan fizikal dan mental. Belum lagi mengadap kerenah manusia yang pelbagai. Pening kepala dibuatnya.

Belum cukup dengan ragam manusia, datang pelbagai peristiwa sebagai penambah rasa. Menyedihkan dan menusuk sukma. 
Walau dikerat dihiris sekalipun ia dicantum semula, hakikat untuk berdendam juga masih ada. 
Aku bukan pendendam dan aku maafkan jua siapa pun orangnya, cuma beri aku masa untuk pulih semula.

Hakikatnya, aku sang pendosa.
Yang mencari jalan ke mana-mana.
Asalkan berada di bumi Tuhan yang nyata.



P/S: Akan mula menulis semula. Doakan semoga tahun 2019 misi kemanusiaan ke Kemboja tercapai.