Selasa, 28 Januari 2014

Surah Al Kahfi

 

Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat dari awal surah al-Kahfi, ia terpelihara daripada (fitnah) dajjal.” (Riwayat Muslim, dinilai sahih).
Ada kisah-kisah indah dalam Surah al-Kahfi. Hati terubat bila merenungi. Ada kisah Ashabul Kahfi. Berkorban segalanya demi akidah. Berlindung di gua tatkala diburu musuh Allah. Tertidur selama 309 tahun. Menjadi bukti kebesaran Allah hingga ke hari ini. Dialah pembela kebenaran. Yang batil dilenyapkan. Yang benar tak hilang dimamah zaman.

Ada kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir. Perlu tawadhuk dalam menuntut ilmu. Rendahkan diri kepada yang lebih tahu.

Ada kisah Zulkarnain. Raja yang bertakwa dan adil. Allah SWT memberikannya kuasa memerintah dengan makmur. Timur dan Barat dikuasai. Beliau diminta membina dinding penghalang dengan makluk jahat ya’juj dan ma’juj.

Ada perumpamaan yang pelbagai. Kisah si kaya yang berbangga dengan hartanya.  Kisah si miskin yang perkasa dengan akidahnya dalam kisah dua pemilik kebun. Ada pesanan tentang kehidupan dunia yang sementara dan akan binasa. Ada kisah tentang keengganan iblis untuk seujud kepada Adam a.s. Mengingatkan kita tentang bahaya penyakit takabbur dan terpedaya.

Ya Allah, aku tidak sanggup lagi membiarkan Jumaatku berlalu tanpa al-Kahfi. Bantu diriku untuk terus kuat.

                Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang membaca al-Kahfi  pada hari Jumaat, pasti nur akan meneranginya antara dua Jumaat.” (Riwayat dikemukakan oleh al-Sayuti, dinilai Sahih).
Indahnya!

 Surah ini juga mengajar umat Islam agar apabila berjanji, hendaklah mengatakan “In Sya Allah”. Ia suatu kalimah yang sangat penting. Antara asbab turunnya beberapa ayat di dalam surah al-Kahfi ialah kerana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ditanya oleh orang-orang musyrik tentang 3 perkara iaitu kisah Ashabul Kahfi, kisah Dzulqarnain dan tentang ruh. Namun, wahyu tidak turun kerana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam tidak menyebut “In Sya Allah” tatkala berjanji untuk menjawab tiga persoalan tersebut. Selepas beberapa ketika dan agak lama menunggu wahyu, akhirnya turunlah ayat yang menyuruh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menyebut “In Sya Allah” tatkala berjanji, diturunkan sekali jawapan-jawapan dari ALLAH tentang 3 persoalan tersebut.
HR Ahmad) : Daripada Muaz Ibnu Anas Al-Juhari, daripada bapanya, daripada Nabi SAW baginda bersabda:

“Sesiapa membaca dari Surah Al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi.”

(HR Ibnu Katsir) : Daripada Umar beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:
“Sesiapa membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit, untuknya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat.”

(Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn 3: 243) : Rasulullah saw bersabda:“Barangsiapa yang menjaga sepuluh ayat dari surah Al-Kahfi, ia akan memiliki cahaya pada hari kiamat.” Hadis ini bersumber dari Abu Darda’.

 Semoga kita semua tergolong dari orang yang dirahmati Allah dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah, hendaklah kita ingat dengan sabda Nabi saw yang bermaksud : “sesungguhnya Allah tidak melihat gambaran lahir kamu tetapi Allah melihat batin (hati) kamu.” Sama kita amalkan pada setiap hari Jumaat.
Wallahua’alam

Jumaat, 24 Januari 2014

Qalbun Salim

 

Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu dan tunjukkan kami kepada jalan ketaatan.

Renungan buat diriku yang mudah lupa....
Ya Allah, mohon kepadamu agar hatiku terus terbuka untuk mengingati-Mu setiap saat.

"Adakah orang yang dilapangkan Allah dadanya unutk menerima Islam, lalu ia tetap dalam cahaya dari Tuhannya, sama seperti orang yang tertutup hatinya? Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras hatinya dari mengingati Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata."
( Surah az-Zumar 39:22)

Isikan jiwa dengan ayat-ayat Al-Quran
Percayalah bahawa jiwa yang kosong itu disebabkan kealpaannya untuk mengisinya dengan ayat-ayat al-Quran. Bagi yang begini, jiwanya mudah 'dirasuk' oleh syaitan yang sememangnya ternanti-nanti untuk menyelusup ke dalam hati dan membalikkan hati kepada mencintai kerosakan akidah.

Tanamkan dalam jiwa bahawa sebaik-baik ubat atau penghalang kepada penyakit jiwa adalah dengan ayat-ayat suci al-Quranul Karim. tidak boleh mengatakan tidak, sesungguhnya panduan yang tertulis dalam al-Quran adalah panduan yang agung untuk umat manusia. Al-Quran adalah wahyu Allah dan peninggalan Rasulullah s.a.w. yang kekal memandu manusia ke jalan yang diredai sehingga hari kiamat.  Kitab agung ini mengandungi 6236 ayat dan 114 surah mencakupi garis panduan hidup di dunia dan balasan di akhirat, kisah para nabi dan solehin untuk diteladani, hukum-hukum, suruhan, tegahan dan pelbagai persoalan yang wajib diselami oleh setiap insan.

Sesungguhnya bahawa al-Quran dapat mengajar manusia kearah kebaikan dan menyimpang daripada kejahatan  dan dapat menikmati lima cabang hakikat benar;

1. Benar dalam perkataan
2. Benar dalam niat dan kehendak
3.Benar dalam keazaman
4. Benar dalam menepati janji
5.Benar dalam amalan

Semoga pengisian hari ini dapat memberi ilmu dan pengetahuan kepada semua. Tiba-tiba teringat pulak maksud ayat dalam surah Saff, ayat 2.
Wallahua'lam.


Khamis, 23 Januari 2014

Mengubat Jiwa Kosong



"Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhan-Ku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhan-Ku."
(Surah Kahfi ayat 109)

"Daripada kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat kepadanya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Assalamualaikum dan selamat datang ke klinik jiwa.  Tahukah apa itu jiwa kosong? Jiwa kosong bermaksud kemurungan yang dialami akibat daripada berlaku sesuatu seperti keputusan ujian tidak memuaskan, masalah personaliti ataupun masalah-masalah yang lain misalnya putus cinta. Punca jiwa kosong ini ialah tujuan hidup yang belum jelas. Persoalan-persoalan seperti dari mana aku datang, siapa yang menciptakan aku, untuk apa aku diciptakan, ke mana aku selepas dunia dimusnahkan, perlu selalu ditanya kepada diri sendiri saban hari, tidak kira waktu dan ketika supaya dapat hidup di dunia dengan agenda yang teratur dan bermanfaat.

Peringkat simptom penyakit jiwa
- Pesakit melakukan maksiat, tetapi kemudiannya timbul rasa bersalah dengan dosa yang dilakukan. Ada keinginan untuk berjaga-jaga daripada melakukan dosa yang sama lagi pada masa akan datang. Ini merupakan simptom awal.

-Biasa dengan dosa. Dosa yang kerap dilakukan menyebabkan terkikisnya rasa bersalah pada Allah. Semakin lama, virus dosa sudah sebati dengan diri.

-Seronok buat dosa. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, pesakit jiwa rasa didodoikan dengan dosa yang dilakukan. Mereka ketagih untuk terus melakukan dosa.

-Mempromosi dosa. Sudahlah menjadi pesakit, orang ramai turut sama disebarkan dengan virus penyakit. Hati-hati dengan pesakit jiwa!

Ubat jiwa dan dan cara penggunaannya
* Membaca al-Quran. Jadikan al-Quran sebagai panduan, ubat motivasi dan terapkan ajarannya di dalam kehidupan. Hendaklah berusaha mendisiplinkan diri dengan mengkhatamkan al-Quran minima tiga bulan sekali.

*Qiamulail. Mulakan perlahan-lahan dengan melakukannya sebulan sekali, selepas itu seminggu sekali tetapi dengan penuh istiqamah. Yang paling baik, kejutkan orang lain untuk bangun bersama. Keadaan ini akan membangunkan jasad dan roh yang sihat untuk diri dan orang lain. Sama-samalah berusaha untuk mengejar kemanisan beribadat pada waktu tersebut. Sebaik-baik malam ialah satu pertiga malam yang terakhir iaitu kira-kira pukul 4 pagi hingga sebelum Subuh.

*Istighfar. Maksudnya,'Aku memohon keampunan-Mu, tiada Tuhan kecuali Engkau yang sentiasa hidup dan sentiasa waspada(jaga). Ya Allah, aku bertaubat kepada-Mu. Hitung bacaan istighfar 10 kali, 70 kali ataupun 100 kali selepas solat.

*Mengingati mati. Muhasabah diri tentang apa yang akan dipersembahkan setelah mati. Jangan terkurang dosnya dalam sehari!

*Menangis dan mengadu. Mengadu kepada Allah untuk menyembuhkan penyakit jiwa. Hadis Nabi s.a.w. maksudnya,' Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah.'
(Riwayat ahmad dan al-Nasa'i)

Sabtu, 11 Januari 2014

Puisi Untuk Kaum Hawa


Wanita Syurga Bidadari Syurga

Keanggunan yang terpancar darimu muslimah,
Ketegasan jiwamu bak perisai nan indah,
Kau hadirkan pesona,
Malu berbalut taqwa,
Laksana syurga di dunia.

Keteguhan hatimu oh wanita muslimah,
Ketangguhan dirimu yang terbingkai solehah,

Perhiasan dunia,
Tunduk pada yang Kuasa,
Sejukmu menenteramkan jiwa.

Engkau wanita syurga,
Bidadari dunia,
Kehormatan kau jaga dengan penuh cinta,
Engkau wanita syurga,
Bak permata berharga,
Berbinar indah dalam kesucian jiwa...


- Irdinah Islah-

Selasa, 7 Januari 2014

Bagaimana Nak Jadi Tekun?

 
Bertanyalah Diri, Apa Yang Allah Mahukan?

Orang yang cuba mencapai piawaian tertentu dalam kerjanya biasanya akan tekun melaksanakan tugasannya itu. Pernahkah kita mengambil berat tentang piawaian Allah dalam setiap kerja kita?
Rahsia menjana kuasa ketekunan luar biasa dalam diri seseorang ialah memahami apa yang dilakukannya itu dari ‘kasut’ Ilahi. Bertanyalah pada diri, apa yang Allah mahukan daripada kerjaku ini?
Allah Mahukan Kita Mengamalkan Islam yang Syumul

Allah mahukan kita mengambil Islam secara keseluruhan sebagai sistem hidup kita. Bukan separuh-separuh. Bukan cebisan-cebisan. Bukan mengikut selera kita sahaja.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara keseluruhan. Janganlah kamu mengikuti  jejak langkah syaitan.” (Al-Baqarah:208).

Contohnya, kita bukan sahaja tidak makan khinzir dan minum arak dalam aspek pemakanan bahkan tidak mendekati zina sebelum berkahwin dalam aspek muamalat.

Piawaian Allah supaya kita mengamalkan Islam secara keseluruhan akan memotivasikan diri untuk berusaha dengan tekun dan lebih tekun. Realitinya,  ia memang sukar  dilaksanakan. Namun, ia memberi kita target untuk dicapai.
Allah Mahukan Kita Hidup Memberi Manfaat

Sabda Rasulullah SAW yang berkata-kata dengan petunjuk wahyu bukannya nafsu, mafhumnya, “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami’ al-Shaghir wa Ziyadatihi).

Daripada hadis ini, apa yang Allah mahukan? Sudah tentu Allah mahukan kita banyak memberi dan menyumbang kepada orang lain.

Orang mukmin sentiasa mencari peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tanpa perlu dipinta, disuruh atau dipaksa. Kata pepatah Arab, orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan memberi. Maka, untuk menyumbang kepada orang lain, sumbangkan dahulu kualiti buat diri sendiri.
Allah mahukan setiap mukmin cuba berperanan memenuhi semua aspek fakulti insan terhadap dirinya sendiri. Maha Bijaksana Allah SWT yang menyeru kita menjadi umat pertengahan dan seimbang.
Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: ayat 143).

Diri yang dilengkapi kualiti akan mudah memberi manfaat  kepada orang lain. Inilah keseimbangan hidup.