Selasa, 25 Februari 2014

Bahagiakan Dirimu dengan Al-Quran

‘Dengan al-Quran, hatimu akan menjadi tenang.’ Kata-kata kawan baiknya, Irdina terngiang-ngiang di telinga. Thorfina sudah banyak kali bertemu dengannya. Namun, mereka tidak selalu dapat berdiskusi seperti di dalam usrah kerana Irdina selalu sahaja ada kelas tambahan. Kerap kali dia melihat Irdina berada di dalam kelas bertemankan pen dan kertas. Irdina berada dalam kelas sains pengurusan manakala dia dalam aliran sains tulen. Susah mahu bertemu selalu dan berbincang. Masa yang ada hanyalah ketika usrah. ‘Susah betul nak jumpa dengan Irdina. Selalu dia ada kelas tambahan. Haishh, bilalah nak dapat dengar dia diskusi ilmu. Nak tegur dekat dorm, kasihan pula sebab asyik dengan kerja sekolah,’ detik hatinya. Thorfina nekad mahu berjumpa dengan rakan seusrah. Mahu berbincang.

Sesampainya di dorm, dia nampak kelibat rakannya itu keluar ke bilik air. Lantas dia mengambil keputusan mahu duduk sebentar atas katil rakannya itu. Thorfina nampak banyak nota dan pen. ‘Mesti banyak betul kerja sekolah yang cikgu beri. Susah betul kalau jadi orang pandai ni.’ Matanya terpandang al-Quran tafsir yang terletak kemas di atas meja studi. Siap berzip. Thorfina membukanya dengan perlahan. Zupp!! Hatinya terpana melihat maksud surah yang dibaca ketika solat. Surah al-Fatihah.

1.Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

2.Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

4. Yang menguasai hari Pembalasan.

5.Hanya Engkaulah yang kami sembah,dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.

6.Tunjukilah kami jalan yang lurus,

.(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka 
yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

Tiba-tiba, rakannya itu masukdan sedikit kaget melihatnya. “Ini Thorfina kan? Ahlan wasahlan ke taman ilmu saya.”  ‘Rupanya inilah teman diskusi yang selalu diperkatakan teman-teman sealiran. Macam tidak percaya, sungguh sederhana orangnya. Tidak sombong dan ramah pula. Nampaknya hatiku salah andaian lagi.’ Sungguh lama Thorfina merenung dirinya sehinggalah matanya berkelip kembali. “Maaf, Fina tak sengaja buka al-Quran tafsir ni.”  “Tak mengapa. Fina dapatlah pahala. Asif sangat sebab buat Fina tertunggu-tunggukan Najwa dekat sini.” ‘Najwa? Bukankah namanya Irdina? Ke aku ni salah orang? Tak apalah, sembang dululah dengan dia.’

“Fina nak tanya Najwa masa dekat dalam surau tadi. Fina tak berani nak ganggu Najwa. Tapi, kalau Fina nak tanya sekarang boleh? Takut nanti Najwa sibuk pulak.”  “Tak apalah, Fina. Taman ilmu ini bersedia pada bila-bila masa saja,” kata saya. Sungguh saya beruntung dapat berjumpa dengan Ibriz Thorfina. Banyak saya dengar kisah mengenainya. Seorang yang suka bertanya. Lagipun, ramai teman saya asyik berbicara tentang dia. Saya tidak tahu langsung pasal surat yang sering dia tulis kepada saya. Berlambak-lambak diletakkan di bawah meja. Macam orang yang bercinta pula. Tapi, bezanya dia dengan teman perempuan lain, dia sepertinya malu mahu berdiskusi dengan saya. Saya sering nampak dia asyik menulis ketika usrah sughra. Kami tidaklah sampai tidak bertegur sapa, namun saya meraikan fatwa hatinya yang kelihatan keberatan untuk bertanya.  “Fina kan yang hantar surat-surat tu pada Najwa?” tanya saya. Mahu meminta kepastian. Dia mengangguk. “Fina malu nak tanya Najwa pasal hal-hal yang kecik ni. Orang semua tengok pelik. Diorang kata macam nak hantar dekat secret admirer pulak.”

“Itu cara Fina. Najwa meraikan. Tak salah pun. Cuma, kalau nak better lagi, kita jumpa. Asiflah sejak hari-hari ni Najwa sibuk sikit. Ada kelas tambahan tak berhenti-henti.”  “Fina tahu. Sebab tulah Fina hantar surat dekat Najwa. Terima kasih sebab tolong jawabkan masalah yang Fina tulis dalam surat tu.”  Saya tersenyum. “Thorfina, nak tanya pasal apa pula? Tanyalah. Taman ilmu ni dah bersedia nak jawab soalan.”  “Seronokkan manusia yang mempunyai ketenangan hati.”  “Bacalah al-Quran. Al-Quran adalah dos terbaik untuk menghilangkan segala resah di hati, pengubat jiwa duka lara, pembuka jalan bagi setiap masalah selepas solat dan juga zikir. Ada dalam surat tu Fina tulis macam mana nak bagi hati kita senantiasa tenang. Jawapannya adalah al-Quran.”  “Jadi, Najwa selalu baca al-Quran, sebab itu Najwa rasa tenang?”  “Na’am, sahabatku. Bukannya selalu mesej-mesej dekat orang yang tidak sepatutnya nak bagi hati kita tenang. Yang lebih teruk, ada kes sampai bunuh diri sebab terdengar bisikan-bisikan yang menyuruhnya berbuat demikian. Remaja yang macam kita ni, memang fitrah nak rasa mencintai dan dicintai, tapi ikutlah saluran yang betul. Tapi, selalunya, bila ada masalah, mengadu dekat bf. Kesian hati terseksa. Iman terpenjara.”

“Oh, patutlah ada kes yang Fina dengar ada orang yang sanggup bunuh diri sebab dia ada masalah kemurungan. Puncanya sebab gaduh dengan bf dia.” “Fina, indah hidup kita bertemankan al-Quran ni. Lagi satu, al-Quran dapat memberi syafaat kepada kita masa akhirat kelak. Nak jadi syafaat atau laknat?”  “Semestinya syafaat, Najwa.Surah al-Fatihah yang kita baca dalam solat, Fina rasa hati ni terpana bila tengok makna dia.”  “Surah al-Fatihah ni kalau kita amal sebanyak 1000 kali sehari ini, banyak kelebihan dia. Selain itu, banyak surah lain seperti surah al-Waqiah dan Yaasin. Yang ni pun kalau kita baca tiap-tiap hari, nescaya Allah akan mudahkan jalan untuk kita. Tapi, jangan lupa buat solat sunat selalu.”

“Terima kasih Najwa. Sesuailah dengan kes Fina ni. Buat apa-apa pun tetap tak jadi. Sekarang, Fina dah temui jawapannya. Membaca al-Quran.”  “Fina kena selalu baca, baru hati ni stabil sebab dia dapat makanan dia. Rugi saja kalau badan dapat makan, tapi hati kelaparan. Rohani kita ini dahagakan ilmu dan ‘makanan’ dia sendiri. Kalau boleh, try khatam tiga bulan sekali. Nak baca satu muka surat pun bukannya lama. Dalam dua hingga tiga minit.”  ‘Err… kalau baca Sejarah, boleh habis satu bab,’ desis hati Thorfina. 

“Jangan berkira sangat nak meluangkan masa dengan al-Quran. Fina pilih yang mana satu, nak jadi orang yang  pandai dan hidup yang berkualiti atau nak jadi orang yang pandai tapi hidup tak berkualiti?”  “Mestilah nak jadi orang yang pandai dan hidup yang berkualiti.” “Ad-diinul khusnul khuluq. Agama itu keindahan budi pekerti. Lihatlah betapa tersusunnya hidup orang yang hidup bertemankan al-Quran. Salah satu cara untuk meningkatkan iman ialah dengan membaca al-Quran. Kata Al-Ustaz Abu A’la Al- Maududi, “Al-Quran diturunkan oleh Allah kepada kita agar kita membacanya, memahami isinya, dan berbuat menurut petunjuknya. Dan dengan pertolongan kitab ini, kita disuruh menegakkan pemerintahan di muka bumi Allah ini sesuai dengan hukum Allah.”

 “Wah, sebegini hebat al-Quran menjadi manual hidup,” kata Thorfina.  Dia mencelah lagi, “Fina bukannya apa, kawan-kawan Fina semua mengadu dekat bf  diorang bila ada masalah. Susah betul kalau ada orang yang tak sependapat dengan kita. Untungnya Fina dapat masuk sekolah agama. Fina nak jadi insan terpelihara, tak mahu terjebak dengan semua-semua ni. Melalaikan. Kesian hati Fina.”  “Jika kita mencari ilmu, kita tidak perlu lelah mencari cinta manusia. Kelak, ia akan datng sendiri.”  “Macam mana? Dengan menunggu?”  “Dengan persiapkan diri. Tak perlu ligat-ligatkan diri dengan bermain-main cinta. Jika rasa, uruskanlah dengan zikrullah. Perjalanan kita masih jauh, Fina. Kata Ibnu Qayyim, “Cinta itu boleh lenyap dengan lenyapnya sebab.” Prioriti kita, pelajaran. Yakinlah dengan Allah.”  Saya melihat Thorfina memeluk al-Quran tafsir saya dengan erat. Al-Quran itu pemberian abi sejak saya dalam tingkatan dua. Warna coklat. Saya amat menghargai abi atas hadiahnya itu. Itu hadiah yang paling istimewa yang saya pernah dapat. Terima kasih abi. “Nanti kejap. Bukankah nama awak ni Irdina. Kenapa orang panggil Najwa? Pening saya.”  “Oh, Najwa terbitkan artikel dekat majalah guna nama Irdina. Teman-teman semuanya panggil Najwa saja. Kalau Fina nak panggil Irdina pun boleh. Sebab nama sebenar Najwa ialah Najwa Irdina.”  “Oh begitu.”

And lagi satu, Najwa tahu dari mana yang Fina yang tulis semua surat-surat tu? Fina tak tulis nama pun.”  “Hannah ada nampak Fina letakkan dekat bawah meja. Jadi, semua orang dah tahulah yang Fina tulis.”   “Macam detective pulak Hannah ni.” Kami tergelak. Sebelum kami beredar, saya hadiahkan sticky note untuknya.

Kepada Ibriz Thorfina,

Allah s.w.t. berpesan, “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’d 13:28)

                                                                          Daripada Najwa Irdina : )

Rabu, 19 Februari 2014

Demi Dhuha


Indahnya hidup dalam uhkwah dan suasana tarbiah. Tidak mahu ku lepaskan saat indah-aktiviti secara berjemaah. Bukan sahaja sihat dalam spiritual, bahkan luarannya juga. Diri ini tersenyum apabila teringat sepotong hadis, Rasulullah bersabda mafhumnya “Sungguh ajaib perihal orang Mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya.” (Riwayat Muslim)

Sempat lagi diriku menulis sambil memerhati gelagat sahabat-sahabat yang bergelak ketawa. Pen masih ligat untuk berkarya. Ummu kata diriku mewarisi bakat dari abi. Sampai sekarang ku mencari jawapan. Kalau kedua-dua belah tangan ini boleh menulis, mungkin kerja sekolah dah lama siap. Ku gagahkan juga untuk menyiapkan karangan yang berbaki dua perenggan. Jika ditangguh, alamat tidak siaplah jawabnya. Ku akui, diriku tidaklah sehebat seperti ilmuwan terdahulu seperti Imam al Ghazali, Imam Ahmad dan imam-imam lain. Tapi, karya mereka amat ku kagumi. Ulama yang terkenal seperti Prof. Dr Yusuf al Qaradhawi  menjadi idolaku. Beliau sangat meraikan wanita dalam menentukan masa depan mereka. Moga-moga, diriku juga sempat bertemu dengannya walaupun dalam mimpi. Amin.

Kakak senior datang kepadaku sambil membawa hadiah coklat. Macam tahu-tahu saja. “Adik ni suka warna coklatkah? Kak tengok baju, kasut pun warna coklat. Lagi satu, al-Quran pun warna coklat.” Aku tersenyum saja. “Kebetulanlah akak. Adik pilih warna coklat ini pun secara tak sedar. Ummu pun asyik kata dah berlambak baju warna coklat dalam almari.” “Tak apalah, akak keluar dulu. Jangan lupa makan coklat yang akak bagi tu. Sebagai peneman untuk bertinta. Maklumlah adik akak yang sorang ni nak jadi novelis,” katanya sambil tergelak. “Ye, akak. Buat aktifkan sel-sel neuron dalam badan. Untuk otak pun bagus tau.” Aku membuka kotak yang berisi coklat kegemaranku. Ada sticky note lagi. Kali ini kakak mengambil kata-kata hikmah daripada penyair sufi yang terkenal iaitu Jalaluddin al-Rumi.  Kakak senior sangat prihatin. “Apabila kita mati, jangan dicari pusara kita di bumi, tetapi carilah di dalam jiwa setiap manusia.” 
“Na, marilah duduk  sekali dengan kita dekat bawah ni. Asyik berkepit dengan pen saja. Bosanlah kalau Na tak ada.” Aku tersenyum. Seronoknya jika ada teman-teman macam ini. Boleh diiktiraf sebagai sahabat. Di dunia dan di syurga nanti. “Na, jom kita diskusi sikit. Nak tengok Na bercerita,” kata Sabrina dan Suha. “Wah, time-time lewat masih juga mahu diskusi. Tak mengantukkah?” kataku. Jika mereka mahu tidur awal, diriku amat meraikan. Bukannya apa, sudah pukul 12 tengah malam. “Nanti esok semua pakat-pakat tak bangun qiam sebab mata tak larat nak celik,” tambahku lagi. “Esok cuti. Nanti boleh sambung tidur lepas habis qiam.  Na jadi jam loceng kitaorang. Ceritalah, Na. Bedtime story untuk malam ni. Please,”  kata Suha. Aku meraikan ajakan mereka.

“Nak  cerita pasal apa pula kali ni?” tanyaku. “Kelebihan solat dhuha.” Hmm.. tahan  sungguh otak mereka walaupun hari dah larut malam.Walaupun diriku ini seorang yang biasa-biasa saja, tapi perbincangan ilmiah ini boleh juga mengisi ‘makanan’ rohani yang agak kosong. Tak akan kulepaskan peluang.  Umpama mengisi minyak petrol pada kenderaan.  Diskusi ilmu pun bermula. “Kejap. Kenapa tak suruh orang lain cerita saja? Kalau ikutkan ini kali pertama Na diskusi dengan kalian ni. Rasa kecik pula.” “Adik  form 1 selalu cerita dekat kitaorang pasal Na selalu cerita kisah-kisah nabi dekat mereka time cuti. Kebetulan kita bertiga saja yang tak tidur malam ni. Bolehlah,” tambah Sabrina. “Okay. Solat dhuha ni kita lakukan pada waktu pagi, kira-kira pukul lapan pagi dah boleh mula. Tapi sesetengah tempat ada yang mula awal daripada pukul lapan. Waktu dhuha ni berakhir apabila dah nak dekat dengan waktu Zuhur. Selalunya, kita buat dekat sekolah masa rehat kan?”  “Betul. Tapi tak puaslah. Waktu rehat tu singkat sangat. Nak minta pihak sekolah lajak sikit. Kalau boleh waktu rehat biarlah setengah jam,” tokok Suha. Kami tergelak.

“Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ‘Setiap tulang sendi seseorang menjelang pagi memerlukan sedekah. Untuk itu, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah, semua perbuatan itu sama nilainya dengan dua rakaat solat dhuha.’ (Riwayat Abu Dzar). Sebab itu ramai orang yang buat solat dhuha ni. Mereka menyedari akan kepentingan solat dhuha.”  “Ooo, begitu. Lepas ni, kita semua imarahkan surau sekolah kita,” kata Sabrina. Rakan-rakan yang lain turut menyertai kami bertiga. Makin ramai yang mahu mendengar ‘bedtime story’ yang tak formal ni. Kami membentuk satu bulatan supaya semua orang mendapat ruang untuk mendengar. “Yang ni semua pakat tak mahu tidur lagikah? Mesti dengar kami bertiga sembang.”  “Kalau pasal ilmu yang bermanfaat, siapa yang tak mahu melepas,” kataku. Diskusi diteruskan lagi. “Sabrina, boleh tolong ceritakan tentang kelebihan solat sunat dhuha?” tanyaku lagi. “Boleh. Antaranya ialah kita tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan seolah-olah seluruh anggota melakukan kebaikan.”

“Na’am. Seolah-olah badan kita pun melakukan sedekah. Bukankah itu baik? Lagi satu, Na nak cerita lagi kelebihan yang Na suka. Siapa yang melakukan solat sunat dhuha ni, doa kita diperkenankan selepas solat sunat dhuha.”  “Wah, alangkah beruntungnya orang yang berdoa selepas dia melakukan solat sunat dhuha.” Diriku tersenyum sambil mata melirik ke arah kotak yang berisi coklat. Teringat pula dekat kakak senior. “ Yang keempat, dimurahkan rezeki. Percayalah, rezeki itu akan datang dari semua arah. Setiap kesusahan akan lahir kesenangan. Yang sempit menjadi lapang. Dan yang miskin menjadi kaya.”  “Kaya?” tanya Najah. 

“Bukan sahaja kaya harta benda, tapi juga kaya hati dan jiwa.”  Semua mengangguk.
“Yang kelima, diri kita dipelihara oleh Allah s.w.t. dan terakhir sekali dihapuskan dosa kita. Walaupun itu hanya solat sunat saja, tapi fadilatnya amat besar. Semua orang dah tahu kan macam mana nak buat?”  “Dah. Lepas ni, kita buat ramai-ramai. Lagi seronok.” Aku bertanya kepada Sabrina tentang hal diskusi selepas semua rakan beredar. “Sabrina, dari mana datang idea nak cerita pasal solat sunat dhuha ni?  Cerciter sikit.”  “Kami nampak nota yang Na selit dalam buku nota Arab. Kalau boleh, nak salin kata-kata hikmah tu. Sangat memberi inspirasi. Aku mengambil pen lantas menulisnya di sticky note‘Ada begitu banyak bukti keajaiban yang tidak terduga daripada sikap istiqamah sang tokoh melalui solat Dhuha yang didirikan. Tidak hanya sebagai benteng keimanan, namun sekaligus kejernihan hati yang tenteram dan teduh bak telaga Kauthar.’   Sabrina gembira apabila melihat tulisan itu. “Nanti dulu. Ada lagi yang Na nak bagi.”  Novel Demi Dhuha karya Muhammad Makhdori. “Ambillah novel ni. Kalau ada masa senggang, boleh baca. Lagipun, ada masa lebih kurang sebulan lagi sebelum kita pulang bercuti. Ambillah ye,” kataku. Dia tersenyum.

Isnin, 17 Februari 2014

Duhai Si Kecilku


 Si kecil merengek-rengek. Tandanya ada tiga, samada perutnya kembung, lampin basah ataupun dahagakan susu. Saya bergegas ke katil bayi untuk melihat keadaannya. Lampinnya  basah. Saya menukarnya dengan lampin yang baru. Si kecil mempamerkan senyuman tanda dia berasa selesa. Saya sempat membaca doa dan menghembus di ubun-ubunnya. Hati rasa tenang melihat si kecil. Saya menepuk-nepuk belakangnya agar dia cepat melelapkan mata. Melihatnya dia kembali lena, saya menyambung kembali tugas di meja studi. Masa untuk kembali berkarya. Doa saya agar saya sembuh daripada sebarang penyakit demi menyiapkan karya buat umat. Soalan daripada rakan-rakan menjengah masuk. “Bagaimana awak ingin mengurus rumahtangga ketika masih belajar? Susah kalau kahwin semasa belajar ni.”  “Masa muda ni la kita nak enjoy.”  “Seramlah nak kahwin ni. Takut cerai.”

Saya berfikir sejenak. Memang ada betulnya kata-kata mereka. Boleh katakan di unversiti hanya beberapa orang sahaja yang berkahwin muda. Fatwa hati saya, tak salah untuk mendirikan Baitul Muslim pada usia yang muda, asalkan sudah bersedia dari segi ekonomi, fizikal dan mental. Sesetengah orang menganggap bernikah itu seronok, tapi bukanlah bagi saya. Penuh tanggungjawab. Sebab itu banyak orang yang ‘lari’ daripada tanggungjawab ini. Kebanyakan anak muda memilih jalan yang salah untuk bahagia.  Couple, zina,  membuang bayi yang tidak berdosa yang dilahirkan ke bumi sangat meruntun hati saya. Keratan akhbar dan televisyen banyak menyiarkan tentang pembuangan bayi. Na’uzubillahi min zalik.

Si kecil merengek lagi. Kali ini rengekan berserta dengan tangisan.  “ Ma, ma… ehek, ehek..” Saya pergi ke katil bayi dan mengangkatnya. Rupa-rupanya dia mahu tidur di pelukan ibunya.  Nampaknya assignment saya terpaksa ditangguhkan dulu. Si kecil yang seorang ini perlu diberi perhatian. Saya melihat abinya sudah tertidur atas meja belajar. Dalam hati, saya berdoa moga-moga Allah berkati perkahwinan kami. Memang saya akui, susah untuk bernikah muda, tambah-tambah lagi jika sudah mempunyai anak. Tapi saya menganggap itu satu inspirasi untuk saya gigih belajar. Saya membawa si kecil bersama saya di meja studi. Sebelah tangan menggendongnya, sebelah tangan lagi menulis.  Nampaknya, si kecil ini mahu jadi penulis, 
detik hati saya. Usianya baru mencecah tiga bulan tapi sudah mahu berkarya.

Teringat kata-kata murabbiah, “wanita-wanita yang tidak baik untuk lelaki-lelaki yang tidak baik, lelaki-lelaki yang tidak baik  adalah untuk wanita-wanita yang tidak baik pula. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.” (An Nur:26). Saya tersenyum apabila teringat kata-kata itu. Selepas itu, tulisan daripada  teman sekuliah yang berada di dalam buku nota membuatkan saya terpana. Tulisannya sangat memberi makna kepada saya. ‘Jodoh dan sahabat merupakan cerminan kepada diri kita. Andai baik, maka baiklah Tapi sahabat dan jodoh juga boleh datang dalam bentuk ujian. Bersabarlah kerana itu semua bertujuan untuk mendidik hati kita.’ 

Sempat lagi saya membacanya sambil menepuk-nepuk badan si kecil. Imtinan Naura sudah berusia tiga bulan. Semakin cepat masa berlalu. Semakin cepat pula saya akan menghabiskan pengajian. Azam saya, untuk mendapat mendapat gelaran siswazah tak lama lagi. Kata-kata ilmuwan Islam, Omar Khayyam memberi keyakinan kepada saya. “Aku melihat hari semalam untuk memahami hari ini dan untuk mengerti hari esok.”    Saya tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Saya menulis sedikit peringatan untuk diri sendiri dan juga buat remaja-remaja di luar sana. Si kecil terlena di pelukan saya. Wahai remaja-remaja di luar sana, jauhilah zina. Sesungguhnya zina itu membawa kepada kerosakan. Natijahnya, anak-anak yang tidak berdosa dibuang di tepi jalan, dalam tong sampah, menjadi makanan anjing dan gigitan semut. Jika diberi kesempatan bayi ini untuk berkata-kata, pasti hati  sedih mendengarnya.

“Ibu, kasihanilah anakmu ini. Janganlah kau tinggalkan daku di sini. Apakah ibu mahu menambahkan dosa dengan membuang diriku? Tidak cukupkah zina yang ibu lakukan ditambah dengan kesalahan membuang anak ibu? Ku mohon padamu ibu, jagalah diriku, peliharalah daku. Janganlah kau biarkan diriku menjadi makanan binatang-binatang buas, gigitan serangga yang menghurung diriku. Ambillah daku sabagai langkah untuk ibu kembali menuju keampunan-Nya.” Saya peluk Imtinan Naura dengan erat. Saya usap ubun-ubunnya berkali-kali. Pastinya jiwa seorang ibu akan tersentuh melihat keadaan bayi-bayi yang tidak berdosa meninggal dalam keadaan yang menyayat hati. Saya bermohon kepada remaja-remaja yang sudah terjebak dengan zina, bertaubatlah kepada Allah. Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Bersihkanlah kembali dengan taubat nasuha, nescaya Allah akan menerima taubatmu. Jika kamu sudah terlanjur mempunyai anak, peliharalah dia dengan penuh kasih sayang. Jangan ditambah lagi dengan dosa membunuh dan membuangnya.

Assignment saya biarkan tersusun kemas di atas meja studi. Abi Imtinan Naura masih lena tidurnya. Rasa tidak sampai hati untuk menggerakkan dia. Saya mengambil keputusan untuk kembali berkarya  biarpun si kecil di pelukan saya. Hari-hari bersamanya merupakan detik yang paling indah. Doa saya, moga-moga Imtinan menjadi anak yang solehah dan menjadi orang yang berjasa kepada keluarga.

Assalamualaika Ya Rasulullah


Angin sepoi-sepoi bahasa menjengah pandangan. Seronok melihat bunga-bunga berkembang dan menanti sang lebah menyinggah masuk untuk menghisap madu. Bunga berwarna kuning menampakkan seri. Alangkah tenangnya hati. Soalan daripada adik usrah masuk ke dalam kotak fikiran. Tenang melihat mereka berlari berkejaran di taman burung sekolah berdekatan dengan surau. Saya menghitung hari untuk meninggalkan sekolah. Kira-kira kurang dua bulan lagi. Allah, cepatnya masa berlalu! Rasa kurang lagi ilmu di dada. Diri ini masih dahagakan diskusi ilmu dan kuliah. Tapi, mahu tak mahu kena juga menghadapi. Adik-adik pula yang akan mengambil alih tugas kami selaku senior-senior di asrama dan di sekolah. Doaku agar mereka berjaya. Amin.

Soalan daripada adik usrah menjengah lagi. Saya tabik usahanya untuk bertanya walaupun pada mulanya dia kelihatan malu-malu. Saya kenal adik itu walaupun kami jarang berjumpa. Dia baru berada di tingkatan satu dan saya berada di tingkatan lima. Masih muda. Tapi, lagi rugi kalau tiada diskusi ilmu macam biasa. “Kak, adik nak tanya sikit boleh?”  “Boleh. Tak ada masalah.” “Kak, boleh tak akak cerita pasal kisah Rasulullah? Hari tu adik  nampak akak cerita dalam kelas masa kelas ustazah Norshimah. Akak boleh sambung tak?”  Saya terkejut. Dalam hati,  macam mana dia boleh nampak?  Tapi, itu bukan masalah.  Sebagai dorongan buat saya. Saya seronok ada juga adik  yang seorang ini mahu mendengar cerita. Pengubat kesunyian dan duka lara. Saya  memulakan bicara. Kalau cerita waktu malam, pasti dah jadi bedtime story pula.

“Adik  mesti nak jadi orang yang ada berbudi pekerti kan?”  Dia mengangguk. “Kak, mak beri nama Nubla dekat adik.  Maksudnya berbudi pekerti yang tinggi.” Saya turut tersenyum. “Nubla, hari ni akak nak cerita kisah Rasulullah yang berbudi pekerti yang tinggi. Jadi, adik Nubla kena jadi seperti nabi.”  “Akak juga.”  Kami sama-sama tergelak. Indahnya hidup dalam suasana ukhwah dan tarbiah. Entah bila saya sudah keluar sekolah dapat berjumpa lagi dengannya.  “Sebagai pembuka bicara, akak nak bagi dekat adik  satu pepatah Arab. Ad-diinul khusnul khuluq. Maksudnya, agama itu keindahan budi pekerti. Okay, sekarang adik nak akak cerita part yang mana?  Kisah Rasulullah ni banyak,” kata saya. “Ikut suka akak. Adik ni nak dengar ja.”

“Dik, Rasulullah ni terkenal dengan gelaran al-Amin. Kata-kata baginda adalah benar dan baginda tidak pernah berdusta. Masyarakat  di Mekah amat sayang akan nabi. “Contohnya, akak?”  “Nabi pernah bekerja sebagai pengembala kambing untuk membantu bapa saudaranya Abu Talib. Baginda bekerja dengan ikhlas, sabar dan kita juga boleh mengambil iktibar daripadanya.”  Nubla mengangguk. Story telling diteruskan. “Baginda juga  menjalankan perniagaan dengan Siti Khadijah yang kemudian menjadi isteri baginda. Tahu tak bagaimana baginda dan isteri baginda boleh bernikah?” “Mesti sebab akhlak nabi yang jujur terhadap pembeli, tidak mengurangkan timbangan, dan bekerja  dengan ikhlas.”  “Bagus, dik. Sebab itu perniagaan Rasulullah mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Berbeza  dengan  kabilah-kabilah yang lain yang suka menipu dalam timbangan, suka bercakap kasar dengan pembeli. Bahkan juga sistem riba diamalkan. 

Natijahnya, pembeli tidak mahu membeli barang di kedai mereka. Berbeza dengan Rasulullah yang bercakap lemah lembut dan sopam menarik minat mereka untuk membeli.” “Akak, ceritalah lagi.”  Saya mengambil peristiwa kekasih hati saya itu diangkat menjadi rasul. “Nabi diangkat menjadi rasul ketika umur baginda 40 tahun. Malaikat Jibril a.s. datang kepada kepada baginda di Gua Hirak dan memeluk baginda  sebanyak tiga kali. Rasulullah menjawab, “Aku tidak tahu membaca.” Lalu Jibril a.s. mengajarkan baginda untuk membaca. “Iqra’. Bacalah dengan nama TuhanMu.” Lalu dengan itu, bermulalah tugas nabi sebagai seorang rasul.”  “Akak, kenapa bila nabi ajak kaumnya untuk memeluk agama Islam, ada orang yang tak mahu ikut nabi? Sedangkan nabi itu digelar al-Amin.”  Saya puji adik itu. Otaknya sangat menjana. “Sebab, ajaran Rasulullah menghapuskan amalan penyembahan patung berhala yang sudah sekian lama diamalkan oleh orang kafir Quraisy. Kedua, konsep persaudaraan yang dibawa oleh Rasulullah bertentangan dengan sistem kabilah mereka. Sistem kabilah hidup berpuak-puak. Tapi, sistem persaudaraan yang dibawa oleh Rasulullah secara tak langsung  menyebabkan mereka menentang ajaran baginda.

Ketiga, amalan riba dilarang sama sekali. Sebab itulah orang kafir menentang Rasulullah. Sebab mereka mengamalkan itu sebagai salah satu punca pendapatan mereka.” Nubla mengangguk. “Akak, peristiwa Israk Mikraj itu adik sukalah. Akak boleh cerita lagi tak? Adik terdengar akak cerita dekat kelas.”  “Peristiwa Israk Mikraj itu berlaku selepas Rasulullah kehilangan orang yang baginda cintai, iaitu Siti Khadijah dan Abu Talib. Allah menurunkan peristiwa itu untuk menggembirakan hati baginda. Dan ada satu inti pati penting yang perlu adik tahu. Peristiwa kewajipan solat ke atas umat Islam. Rasulullah meminta Allah untuk menurunkan waktu solat daripada 50 waktu kepada 5 waktu sahaja.”  “Tapi, ada juga tak mahu buat kan?”  Saya kagum melihat adik ini.  “Memang ada, tapi kita kena beri nasihat kepada orang itu supaya tidak meninggalkan solat . Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan, “Sesungguhnya amalan pertama kali manusia dihisab dengannya di hari kiamat adalah solat.” (Riwayat at-Tirmizi, al- Nasai, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad.lafaz hadis riwayat Abu Daud no 733)

Secara tak sedar azan Asar sudah berkumandang. Saya mengajak adik Nubla untuk menunaikan solat. Sebelum itu, saya tak lupa memberi stick note kepadanya. Tanda penghargaan. Bagi saya, dialah orang pertama yang mengajak saya untuk bercerita. Saya petik dari kata-kata  Omar Khayyam untuk dedikasikan kepadanya. “Aku melihat hari semalam untuk memahami hari ini dan untuk mengerti hari esok.”    “ Akak, nanti akak sambung cerita lagi ya.” Saya mengangguk. Jazakumullahu khairan jaza buat adik Nubla.

Ahad, 16 Februari 2014

Luahan Hati Seorang Sahabat



Diari coklat itu ditutup. Saya berkira-kira untuk menulis lagi tapi entah kenapa saya rasa tiada mood  langsung untuk menulis. Boleh katakan rakan-rakan saya mahu membaca artikel ataupun novel yang saya tulis tapi  fikiran saya asyik terbayang tentang buku yang saya lihat di kedai buku tadi. Rasa rugi tidak membeli. Bukan kerana saya tidak minat, tapi saya tak membawa wang untuk membeli buku tersebut. Hanya sempat membelek beberapa muka surat. Saya berazam untuk membeli buku itu. Tidak mahu terlepas peluang untuk meluaskan ilmu. Peluang keemasan tidak selalunya datang dua kali. Tiba-tiba rakan saya, Hannah datang kepada saya dengan wajah yang tidak begitu gembira.

Saya mengambil buku Arab di atas katil dan mula mengulangkaji. Sangka saya Hannah mahu mengikut saya mengulangkaji tapi dia mencuit-cuit tangan saya. Lalu, buku Arab itu ditutup kemas dan diletakkan di atas meja belajar. “Najwa, saya nak tanya awak boleh?”  “Tanyalah,” kata saya. Perbincangan pun dimulakan. Diskusi ilmu. “Saya telefon mak tadi. Mak tak nak saya pindah sekolah. Ramai ahli keluarga saya menentang. Tapi, itu impian saya. Saya nak sangat pergi sekolah itu,” kata Hannah. Wajahnya tiba-tiba berubah menjadi suram. Saya menghela nafas perlahan-lahan. “Mungkin ada sebab musababnya mak awak tidak benarkan awak pergi ke sana. Cuba beritahu saya.”  “Mak risau tentang keadaan diri saya. Tapi Najwa, bukan senang nak dapat tawaran sekolah asrama penuh. Saya berusaha keras belajar semata-mata nak dapat sekolah tu.” 

“Bukan kerana Allah?” tanya saya. “Kenapa tiba-tiba awak kata macam tu pulak? Saya tengah sedih sekarang ni.”  “Maksud saya, segala yang kita lakukan mesti ikhlas kerana Allah. Contohnya dalam perkara ini, Hannah kata mak tak benarkan Hannah pindah sekolah tapi sebelum tu Hannah dah berusaha keras belajar. Mungkin waktu Hannah mula belajar, Hannah tak tetapkan niat yang betul. Nawaitu kita kena ikhlas, mengharap redha Allah, baru Allah permudahkan urusan kita.”  Memang saya akui, Hannah adalah pelajar terbaik di sekolah kami. Saya juga tabik pilihannya untuk meneruskan pengajiannya di sekolah berasrama penuh. Namun, perkhabarannya tentang tentangan keluarga mengenai hal itu membuatkan prestasi pelajarannya semakin menurun. Sebagai rakan, perlu memberi dorongan, semangat dan harapan yang positif. Bukan senang untuk menghukum dan mengkritik dengan sesuka hati.

“Najwa, Hannah rasa mesti sebab niat Hannah tak berapa nak kena. Sebab itu Hannah tak boleh nak capai impian Hannah.”  “ Kalau kita nak buat sesuatu dengan niat yang ikhlas, semuanya menjadi mudah. Allah akan mendatangkan kepada kita kebaikan dari pelbagai arah. Yang susah rasa senang. Yang sempit jadi lapang. Yang miskin jadi kaya.”  “Maksud Najwa? Hannah masih tak faham.”  “Okay. Najwa bagi contoh ya. Kalau kita nak puasa pada bulan Ramadhan,  apa benda yang paling penting?”  “Niat, kan?” kata Hannah. “Betul. Kalau kita tak niat, macam mana dengan puasa kita?” tanya  saya lagi. “Tak sah. Batal la puasa tu kan?” jawab Hannah. “Tapi, apa kena mengena pulak dengan kes Hannah ni? Najwa, makin pening Hannah dibuatnya.”   “Konsepnya lebih kurang sama. Najwa rasa Hannah tak tetapkan niat yang betul sebelum Hannah nak study.Hannah rasa boleh tak tumpukan perhatian masa cikgu mengajar?  “Tak.  Otak melayang saja. Rasa tak masuk langsung apa yang cikgu ajar. Tambah-tambah kalau subject Arab. Nampak huruf-huruf ja.” Saya tersenyum. “Tapi, Hannah dapat A jugak kan subject tu.”  “Mestilah sebab Najwa yang tolong ajarkan. Tapi, kenapa kita belajar sekali boleh pulak masuk otak. Time cikgu ajar tak boleh?”   “Najwa suruh Hannah baca doa dulu kan sebelum belajar?”  “Ye la. Selalunya Hannah main belasah ja. Terima kasih sebab tolong nasihatkan Hannah. Hannah rasa Hannah dah buat keputusan.”  “Keputusan apa?” tanya saya.  “Hannah tak nak la pindah sekolah. Keputusan mak itu betul. Mak pasti tahu sebabnya.”

   “ Naluri seorang ibu pasti tahu akan kebaikan dan kelemahan anaknya. Terimalah dengan lapang dada. Syurga itu kan di bawah telapak kaki ibu.”

“Hannah tahu betapa pentingnya ikhlas dalam buat sesuatu kerja. Rasa sia-sia saja kalau berjaya tapi tak diterima Allah. Kalaulah ibadat yang kita buat tanpa rasa ikhlas, mesti masuk neraka kan? Tak mahulah.”  “Hati akan rasa takbur, ujub dan sombong. Ibadah yang dilakukan hanya mahu pujian daripada orang. Lebih baik buat ibadah yang sikit dan sempurna daripada ibadah yang banyak tapi tak sempurna. Banyak cacat cela dan lubang-lubang. Natijahnya tak elok. Hidup langsung tak berkat.” 

“Keputusan yang mak Hannah buat sebenarnya dah elok. Cuma Hannah ja yang tak mahu terima. Sekarang, Hannah dah sedar. Terima kasih, Najwa sebab sudi berdiskusi. Banyak ilmu yang kita dapat malam ni Lagipun, Hannah tak mahulah berpisah dengan kawan Hannah yang seorang ni, ”  katanya lagi. Wajah Hannah sudah mula segar kembali. Saya sempat lagi membacakan maksud firman Allah dari surah al Baqarah ayat 216, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu.” Hannah teruja mendengar khabar tersebut. Saya menulis sesuatu di stick note lalu memberikannya kepada Hannah.  Hanya sedikit dorongan kecil buat dirinya.  Hannah meletakkan stick note itu  ke dalam nota Kimianya selepas dia membaca. ‘Barangkali kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.’ (An Nisa: 19)


“Hannah tahu Najwa nak apa.” “Apa dia?”  Buku Cinta High Class kan? Nanti kita pergi sama-sama.”  Saya terkejut. “Dari mana Hannah tahu?”  “Hannah tahulah, Najwa asyik duk belek saja buku tu masa kita singgah di kedai buku petang tadi. Kita pergi hujung minggu ya,” kata Hannah sambil berlalu keluar dari kamar.  Allahuakbar! Terima kasih sahabatku.

Antara Cinta dan Cita-Cita



   Usai menghadiri prep malam, saya dan sahabat-sahabat yang lain bersiap-siap untuk pulang ke asrama. Sahabat karib saya  sedang ligat memasukkan buku-bukunya kedalam beg. Saya masih tetap di meja belajar. Fikir saya, biarlah saya duduk di meja belajar sedikit masa lagi. Bukannya apa, peperiksaan yang akan menjelang semakin membuatkan saya tidak senang duduk. Buku-buku semakin berlambak dan seakan-akan meminta untuk diisi. Saya beristighfar lagi sambil memandang kearah rakan-rakan yang lain. Pukul 10.45 malam, barulah saya bergerak pulang ke asrama. Saya berjalan melewati surau sekolah kami. Mata saya terpandang kearah tempat sujud. Kemudian, kata-kata nasihat daripada Ustazah Norshimah menyinggah masuk kedalam kotak fikiran saya. Katanya, “ Jangan lupa selalu mendirikan solat tahajud. Kamu di sini amat bertuah kerana dapat belajar ilmu dunia dan juga ilmu akhirat. Tapi, dalam sibuk-sibuk mengulangkaji pelajaran, hubungan dengan Allah jangan sesekali kita abai. Allah yang menentukan kejayaan kita bergantung kepada usaha dan tawakal kita kepada-Nya. Sia-sia saja kalau kita bersungguh-sungguh belajar tapi Allah tak redha. Maka, seluruh hidup kita  tidak berkat.”

Zupp!! Nasihat ustazah menusuk kedalam kalbu. Betapa kecilnya jiwa tanpa diberi ‘makanan’ rohani. Hati tak tenang. Hidup dalam kegelapan. Bahkan ilmu yang diterima ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Dalam hati saya berkata, ‘Wahai Tuhanku, berkatilah segala ilmu yang dicurahkan kepadaku dan permudahkanlah segala urusanku di dunia dan di akhirat.’ Setelah sampai di asrama, saya mula mempersiapkan diri untuk sambung kembali mengulangkaji pelajaran di atas katil. Kebanyakan daripada rakan saya memilih untuk berborak-borak sambil ketawa.  Saya fikir untuk tidak mencelah perbualan mereka. Itu fatwa hati saya. Lagipun, kerja sekolah masih banyak dan semuanya perlu dihantar kepada cikgu esok.  “Bertuah kan kalau kita dapat menjadi isteri si dia. Sudahlah alim, pandai mengaji dan yang paling aku suka, suaranya sedap.”   “Aku pun kalau boleh mahu menjadi isterinya jugak. Handsome. Kalau tiap-tiap hari tengok pun tak  apa. Hilang rasa sedih aku.”  “Eh, mana boleh. Dia tu aku yang punya.”  “Emm, tak boleh. Aku cup dulu.” 

Telinga saya menangkap perbualan mereka. Wahai Tuhan, bantulah aku untuk menjaga hati.Semakin hari semakin susah untuk menjaga hati. Kalau boleh,  saya mahu menjalani kehidupan yang sihat tanpa maksiat. Biasalah, apabila sudah meningkat remaja, maka rasa untuk mencintai dan dicintai akan hadir. Bagi saya, ingin mencintai dan dicintai itu tidak salah, asalkan kita meletakkan cinta Allah di nombor satu. Apabila kita mencintai Allah, hakikatnya kita akan memiliki segala-galanya. Inilah cinta yang tidak akan terpisah oleh ruang, jarak, masa, harta dan kematian. Cinta Allah adalah cinta yang agung dan tidak setanding dengan  cinta pasangan kekasih. Persoalannya, sejauh mana kita mencintai Allah? Saya takut jika cinta saya kepada-Nya amat kecil. Banyak membuat maksiat. Terdedah kepada dosa setiap hari. Namun, saya akui saya bukanlah nabi yang bersifat maksum. Tapi, sebagai hamba-Nya, niat untuk membuat kebaikan mestilah bertambah setiap hari. Bukannya menambah dosa pula.

Orang yang  betul-betul mencintai Allah tidak mampu “dimasinkan oleh kemasinan air laut.” Walau bisikan syaitan membisik merdu di cuping telinga atau walau dunia datang dalam rupa terhias indah, dia mampu membutakan mata, memekakkan telinga dan buat-buat lupa dek kasih dan cinta kepada Allah. Walaupun kehidupan harian seolah-olah dia terperangkap bagi memenuhi keperluan hidup, namun segala yang dilakukannya hanya untuk menggapai redha Allah.  Bagaimana untuk mendapat cinta Allah? Cinta kepada Allah boleh dibuktikan dengan cinta kepada Rasulullah. Tingginya kecintaan kepada Rasulullah melambangkan tingginya cinta kepada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad kepada kepada kaummu: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Ali ‘Imran 3:31)

Kebetulan, kakak senior mahu berjumpa dengan saya. Kami banyak berdiskusi ilmu jika ada masa lapang. Saya mengajak kakak tersebut masuk ke dalam kamar kami.  Saya berasa amat bertuah kerana masih ada orang masih mengambil tentang saya. “Adik mahu bercinta? Mahu punya pacar?” Saya menggelengkan kepala. Kakak senior tersenyum. “Alhamdulillah adik akak ni masih terpelihara.  Banyak orang seusia adik memilih jalan sebegitu dengan alasan tidak mahu berasa sunyi. Maklumlah ada orang tolong ‘tengok-tengokkan’ dan buat kita gembira,” tambah  kakak senior. “ Tak ada istilah ‘gembira’ jika jalan zina yang kita pilih,” kata saya. “Bagus. Nanti kalau ada syabab mana-mana kacau adik, adik buat tak tahu saja. Jangan melayan. Nanti mereka merasakan yang mereka sudah menang.” “Itulah yang adik buat sekarang. Lagipun, adik tengok muda-mudi sekarang banyak yang tersilap langkah. Memilih jalan untuk bercouple daripada bernikah. Bukankah itu haram?”  “Ya, adik. Maksud surah al Isra’ pun ada menyatakan jangan mendekati zina dan jalan-jalan yang menuju kepada zina. ”

“Kak, bagaimana pula kita memuji orang yang berlainan jantina? Contohnya, pandai mengaji dan berqasidah. Adik banyak dengar pujian itu daripada mulut kawan-kawan adik,” tanya saya.  “Memuji itu tidak salah. Cuma, janganlah terlalu berlebih-lebihan kerana dikhuatiri akan menjebakkan kepada sifat-sifat buruk seperti riak, ujub dan takbur.” Saya berpuas hati mendengar jawapan daripada kakak senior. “ Adik, akak nak berpesan lagi. Orang yang melakukan dosa akan resah kerana sentiasa diburu rasa bersalah, bukan sahaja pada Allah tetapi kepada diri sendiri.”  Saya mengangguk. “Akak nak tanya adik satu soalan. Adik ada meminati seseorang?” Zupp!! Hati saya terpana seketika. Soalan daripada kakak senior sangat mengejutkan saya. Mahu saja saya katakan yang saya tidak mahu menjawab soalan itu, tapi saya menjawab juga pertanyaannya. “ Memang ada akak, Cuma adik tak mahu dedahkannya kepada sesiapa, takut jadi fitnah. Biarlah adik simpan. Akak tak marah kan kalau adik tak beritahu akak?”  “Tak, dik. Tapi adik kena ingat, hati kena jaga. Hubungan dengan Allah kena jaga, barulah Allah permudahkan urusan kita. Dah dekat nak exam ni, jangan lupa buat tahajud pula. Minta petunjuk pada Allah, moga-moga Dia bagi petunjuk. Cinta kepada Allah ini kena lebih daripada semua benda, barulah high class,” tambah kakak senior lagi. Saya tersenyum.

Kakak senior pernah menceritakan kepada saya tentang sahabat karibnya yang selalu mendirikan solat malam, berzikir, membaca al-Quran dan selalu berpuasa setiap Isnin dan Khamis.  Banyak sunnah Nabi yang dia buat.Kadang-kadang dia selalu melihat kawannya itu tertidur di atas sejadah sambil memegang tasbih. Sayu melihat. Rasa ingin berlumba-lumba melakukan kebaikan. Dia meletakkan cinta Allah di nombor satu melebihi cintanya kepada benda-benda lain. Tanpa disangka-sangka, apa yang dia inginkan semuanya dapat dalam sekelip mata. Subhanallah! Allah Maha Penyayang. Dia memberi kebaikan yang datang  dari  bermacam-macam arah. Saya kagum. Dia Maha Adil. Setiap kebaikan yang dilakukan walau sebesar zarah akan dibalas dengan ganjaran pahala. Dan jika setiap kejahatan yang dilakukan walau sebesar zarah akan dibalas juga samada di dunia atau di akhirat. Hidupnya sangat bahagia. Saya mahu kehidupan seperti itu.
Kami mengakhiri perbincangan  dengan selesa. Sempat lagi kakak senior membacakan maksud firman Allah dalam surah  al Zariyat ayat 56, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka beribadah kepada-Ku.”   

Kakak itu menyambung lagi, “Dik, tugas kita di dunia special. Sebagai khalifah di muka bumi. Jangan sesekali kata yang tugas itu hanya untuk orang-orang yang ada jawatan saja. Contohnya, di sekolah kita ini hanya tugas BADAR atau MPP saja. Walaupun adik tidak memegang apa-apa jawatan pun di sekolah, tapi tugas adik sebagai daie tidak akan pupus. Kita di sekolah ini berjuang untuk menuntut ilmu, menuju redha Illahi, selagi itulah adik kena jalankan tugas adik sebagai pendakwah. Tapi, jangan hanya di sini saja. Tak kira dimana kita berada, selagi berpijak di muka bumi Allah ini, tugas sebagai daie tetap kita jalankan.  La tahzan, akak tahu adik boleh. Lagipun, akak ni minat dekat adik . Seronok tengok muka adik.”  Saya tergelak.  Alhamdulillah, kakak senior sangat prihatin. Walaupun kami mengenali secara tidak sengaja, tapi ilmu yang dibincangkan sangat memberi manfaat. Saya berdoa agar kakak senior berjaya mencapai impiannya. AMIN ...

Isnin, 3 Februari 2014

Hukum Memakai Inai Bercorak dan Bersanding



 

Assalamualaikum w.b.t. Kepala pening-pening nak cari hukum dan dalil pakai inai ni. Ada yang kata itu harus, ada yang kata boleh pakai sebilangan jari saja. Ada yang kata itu hanya adat, kalau tak bertentangan dengan syarak, maka diharuskan. Maklumlah, zaman sekarang ramai pasangan yang kahwin ni, jadi mesti tak lengkap kalau takde inai kat tangan. Inai ni dah sinonim dengan perkahwinan dan lagi satu, tujuan perubatan. Ada lagi, hukum bersanding. Terima kasih ustazah Fatimah sebab bagi penerangan yang jelas.



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.
     
     Bersanding asal hukumnya HARUS. Tiada dalil yang sarih (jelas) dan sahih yang mengharamkannya.

    Hukum HARUS bertukar jadi HARAM apabila ada unsur-unsur lain yang mengharamkannya.

    Jika unsur-unsur ini dibuang, maka hukumnya kembali ke asal iaitu HARUS.

    Antara unsur-unsur yang menyebabkan bersanding jadi haram ialah:
    1) Ada pendedahan aurat.
    2) Ada unsur-unsur pembaziran seperti tabur beras, sewa pelamin terlalu mahal hingga sanggup berhutang dsb.
    3) Ada niat menunjuk-nunjuk.

    Bersanding tetap harus apabila:
    1) Sekadar sediakan tempat cantik yang masih dalam batas kemampuan untuk kenangan bergambar.
    2) Tutup aurat.
    3) Niat disucikan dengan banyak istighfar.
    Wallahua'lam.
     

Sembahyang Menghapuskan Dosa





Sembahyang yang dilaksanakan seorang hamba dengan hati yang ikhlas dan menunaikannya dengan sempurna, dapat menghapuskan dosa, kesalahan dan menaikkan darjat.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud,
"Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua-dua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk (dosa). Itulah peringatan bagi orang-orang bagi orang-orang yang mahu beringat."
                                                                                                   Surah Hud ayat 114

Maksud perbuatan-perbuatan yang baik itu adalah sembahyang lima waktu. Maksud perbuatan-perbuatan yang buruk adalah dosa-dosa kecil. Hal ini berpandukan sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

"Sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat (berikutnya) dapat menghapuskan dosa di antara kedua-duanya, selama tidak berbuat dosa besar."
                                                                                                     Muslim

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Apa pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu dan ia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali? Apakah masih lagi terdapat kotoran di badannya? Para sahabat menjawab: "Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran di badannya." Lalu baginda bersabda: "Begitulah perumpamaannya dengan sembahyang lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka."
                                                                                     Riwayat Bukhari dan Muslim

Dari Uthman bin Affan r.a. berkata, "Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidaklah seorang Muslim menghadiri sembahyang fardu, kemudian membaguskan wuduknya, khusyuk dan rukuknya, melainkan sembahyangnya menjadi kaffarah dosa-dosa yang telah lalu, selama bukan dosa besar. Dan demikian itu berlangsung setiap masa."
                                                                                                   Riwayat Muslim

 Telah sama-sama kita kita ketahui bahawa orang yang mengerjakan sembahyang akan mendapat cinta Allah. Apabila Allah telah mencintainya, nescaya Allah akan mengampuninya dan melindunginya dari perbuatan keji. Wallahu'alam.

*Sumber: Al Fiqh Al Wadhih Jilid 1