Selasa, 7 Januari 2014

Bagaimana Nak Jadi Tekun?

 
Bertanyalah Diri, Apa Yang Allah Mahukan?

Orang yang cuba mencapai piawaian tertentu dalam kerjanya biasanya akan tekun melaksanakan tugasannya itu. Pernahkah kita mengambil berat tentang piawaian Allah dalam setiap kerja kita?
Rahsia menjana kuasa ketekunan luar biasa dalam diri seseorang ialah memahami apa yang dilakukannya itu dari ‘kasut’ Ilahi. Bertanyalah pada diri, apa yang Allah mahukan daripada kerjaku ini?
Allah Mahukan Kita Mengamalkan Islam yang Syumul

Allah mahukan kita mengambil Islam secara keseluruhan sebagai sistem hidup kita. Bukan separuh-separuh. Bukan cebisan-cebisan. Bukan mengikut selera kita sahaja.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara keseluruhan. Janganlah kamu mengikuti  jejak langkah syaitan.” (Al-Baqarah:208).

Contohnya, kita bukan sahaja tidak makan khinzir dan minum arak dalam aspek pemakanan bahkan tidak mendekati zina sebelum berkahwin dalam aspek muamalat.

Piawaian Allah supaya kita mengamalkan Islam secara keseluruhan akan memotivasikan diri untuk berusaha dengan tekun dan lebih tekun. Realitinya,  ia memang sukar  dilaksanakan. Namun, ia memberi kita target untuk dicapai.
Allah Mahukan Kita Hidup Memberi Manfaat

Sabda Rasulullah SAW yang berkata-kata dengan petunjuk wahyu bukannya nafsu, mafhumnya, “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami’ al-Shaghir wa Ziyadatihi).

Daripada hadis ini, apa yang Allah mahukan? Sudah tentu Allah mahukan kita banyak memberi dan menyumbang kepada orang lain.

Orang mukmin sentiasa mencari peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tanpa perlu dipinta, disuruh atau dipaksa. Kata pepatah Arab, orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan memberi. Maka, untuk menyumbang kepada orang lain, sumbangkan dahulu kualiti buat diri sendiri.
Allah mahukan setiap mukmin cuba berperanan memenuhi semua aspek fakulti insan terhadap dirinya sendiri. Maha Bijaksana Allah SWT yang menyeru kita menjadi umat pertengahan dan seimbang.
Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: ayat 143).

Diri yang dilengkapi kualiti akan mudah memberi manfaat  kepada orang lain. Inilah keseimbangan hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan