Rabu, 11 Disember 2019

Sedutan Impianra II


Keadaan di gua yang penuh dengan kesan lekukan menyukarkan pihak musuh untuk cuba masuk ke dalam. Arra Sephia dan El Khori cuba menyorok di celah-celah lekukan batu yang terbentuk itu. Kesan air yang jatuh dari atas permukaan dalam gua membasahi muka dan pakaian mereka. Arra Sephia memberi isyarat kepada El Khori untuk tidak membuat sebarang bunyi yang boleh menarik perhatian musuh. Nafas cuba ditahan sebaik mungkin. 'Tahan Arra, tahan,' getus hati kecilnya.  Dia cuba curi-curi melihat El Khori yang terbaring berhadapan dengannya menahan nafas sambil menutup mata. Cermin mata yang dipakai El Khori pula jatuh di bawah lekukan batu.

Setelah sejam mereka berada di posisi yang tidak menyenangkan itu, Arra Sephia mula perlahan-lahan keluar dari tempat persembunyiannya dan mula meninjau keadaan di sekeliling Gua Helen. Pihak musuh tidak menjumpai tempat persembunyian mereka dan sudah berlalu pergi. Dia menarik nafas lega. 'Alamak, aku lupa El masih ada dalam gua!'  Arra Sephia masuk kembali ke dalam gua yang sejuk dan samar-samar itu memanggil-manggil nama El Khori. "El, keadaan dah baik sekarang. Kamu sudah boleh keluar."

"Arra, boleh ambilkan cermin mata saya? Saya tidak nampaklah. Kamu pun saya tak nampak ni, macam mana nak jalan," kata El Khori.  "Oh ya, saya lupa. Kejap, saya tolong ambilkan. Kamu bangun perlahan-lahan. Jangan terus terjun ke bawah, takut nanti cedera."  Arra Sephia mencapai cermin mata El Khori yang terjatuh itu lantas memberikan benda itu kepadanya. "Terima kasihlah. Kalau tiada kamu, saya tak tahulah apa yang akan jadi."

"Sama-sama."  Mata El Khori tepandang sesuatu. "Arra, tangan kamu... belakang badan kamu juga... ada darah..."  Arra Sephia hanya tersenyum. "Ya, saya cedera semasa nak selamatkan kamu tadi dari terkena busur panah orang suruhan Emily.  El, boleh tolong cabutkan busur panah dekat bahagian belakang saya? Busur panah itu beracun," pinta Arra.  "Saya boleh cabut, tapi kamu kena tahan sakit sikitlah."  "Baik."  El Khori cuba menarik keluar busur panah yang menembusi belakang badan Arra Sephia dengan sekali cubaan kerana tidak mahu racun terus merebak. Zapp!!!

Akhirnya berjaya. Mereka berdua menarik nafas lega. Arra Sephia mengeluarkan sesuatu daripada begnya; sehelai kain dan ubat luka untuk membalut lukanya. "Kamu standby semua ini Arra?!" tanya El Khori  dengan nada terkejut. "El, saya banyak mengetuai peperangan di Heather jadi semua barang ini memang wajib ada dalam beg."  "Gua Helen ni ...." "Ya El. Gua inilah tempat persembunyian saya apabila pihak musuh dari kerajaan Diamond menyerang kami. Sebelum ini hanya saya seorang sahaja yang tahu tentang tempat ini. Arif dan Maytinee tak pernah tahu mengenainya kerana saya merahsiakan daripada mereka. Jadi sekarang, kamu orang kedua El."

"Saya tak faham Arra. Kenapa kamu buat semua ni? Kenapa kamu selamatkan saya dan kenapa kamu cedera untuk saya?" Arra Sephia melihat mata El Khori berkaca-kaca dan air jernih membasahi cermin mata yang dipakai pemuda itu.  "Saya...saya sudah berjanji dengan seseorang. Seseorang yang mahukan kamu selamat," kata Arra Sephia dengan suara yang tersekat-sekat. "Siapa Arra?" tanya El Khori.  'Orang itu adalah ibumu El. Mama yang mahu kamu selamat. Tapi tak mungkin aku akan beritahu kamu tentang hal ini. Aku tak mampu El,' kata hati kecil Arra Sephia.

"Siapa Arra?" tanya El Khori buat kali kedua. "Suatu hari nanti kamu akan faham. Baik El, kita terpaksa bermalam di dalam gua ini buat beberapa hari sehingga saya yakin keadaan kembali aman. Bekal makanan sudah ada jadi kita boleh kongsi. Kalau kamu dahaga, di depan gua ada air sungai mengalir jadi boleh minum. Buah-buahan pun ada di sekitar sini. Saya mahu ubatkan luka saya dahulu. Kamu rehatlah. Kesat air mata tu. Malulah orang lelaki menangis di hadapan perempuan. Kamu menangis saya pun nak menangis juga tahu."

El Khori ternganga mendengar penjelasan panjang lebar Arra Sephia. 'Arra Sephia, kamu benar-benar hebat.'  "Emm... malam ni nak..." El Khori cuba untuk bertanya tapi dia tiba-tiba menjadi malu pula. Arra Sephia yang membalut lengannya yang cedera itu melihatnya dengan pandangan yang meminta kepastian. "Nak apa El?"  'Aduh, macam mana nak cakap ni? Malulah pula.'

"Malam ini...kita mahu tidur di mana?" tanya El Khori dengan mukanya yang merah menahan malu. "Kamu tidur di bahagian bawah. Tempat persembunyian kamu tadi. Saya pula tidur di bahagian atas. Apa-apa yang berlaku kita boleh alert."  "Baik."

***

Hujan lebat menjadi peneman mereka malam itu. Suasana menjadi semakin sejuk.Keadaan itu menjadikan Arra Sephia tidak dapat melelapkan mata. Dia memandang ke bawah. Kelihatan El Khori tidur nyenyak sekali walaupun berbantalkan lengan dan berselimutkan tuala kecil miliknya. "Nyenyak sangat tidur sampai cermin mata pun tak buka."  Dia perlahan-lahan turun ke bawah dan cuba untuk tidak menggerakkan El Khori yang sedang tidur. Arra Sephia membuka cermin mata pemuda itu dan diletakkan bersebelahan dengannya.

Setelah itu, Arra Sephia berjalan perlahan dan keluar dari gua. Dia melihat jauh medan pertempuran Heather menentang kerajaan Diamond. 'Kenapa Diamond nak sangat korbankan El? Aku tak faham. Peperangan dah tamat, Ratu Diamond dah mati tapi siapa pula yang nak sangat El mati?' getus Arra Sephia sendirian.

"El, saya tak sanggup nak beritahu kamu satu perkara. Kamu orang yang ada di dalam hati saya  dan saya sayang kamu. Tak akan saya biarkan kamu cedera sedikitpun El. Tak akan..." Arra Sephia menangis di hadapan Gua Helen. Tanpa dia sedari, El Khori mendengar segala luahan hatinya dan air mata pemuda itu jatuh jua. 'Arra Sephia... dui bu qi (maaf). Saya minta maaf.'

Pagi subuh itu, El Khori mendapati Arra Sephia  tiada di tempat perbaringannya. Dia melilau mencari akhirnya dia melihat Arra Sephia sembahyang dengan khusyuk tidak jauh dari tempatnya. "Dia sembahyang rupanya."  El Khori menunggu Arra Sephia selesai dahulu menunaikan tanggungjawabnya kepada Tuhan dan setelah itu mereka perlu meninjau keadaan untuk pulang ke istana secepat mungkin.

"Sudah selesai sembahyang?" tanya El Khori.  "Sudah," jawab Arra Sephia sambil tersenyum. "Err...luka kamu sudah baik? Tak sakit semasa sembahyang?"  "Luka saya sudah baik El. Jangan risau. Mari kita cari buah dulu buat sarapan. Lepas itu, saya bawa kamu pergi tengok air terjun dan medan peperangan kami. "

"Kamu percayakan saya? Tak takut saya bocorkan rahsia?"  "Saya percayakan kamu El. Xin ren."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan