Isnin, 17 Februari 2014

Duhai Si Kecilku


 Si kecil merengek-rengek. Tandanya ada tiga, samada perutnya kembung, lampin basah ataupun dahagakan susu. Saya bergegas ke katil bayi untuk melihat keadaannya. Lampinnya  basah. Saya menukarnya dengan lampin yang baru. Si kecil mempamerkan senyuman tanda dia berasa selesa. Saya sempat membaca doa dan menghembus di ubun-ubunnya. Hati rasa tenang melihat si kecil. Saya menepuk-nepuk belakangnya agar dia cepat melelapkan mata. Melihatnya dia kembali lena, saya menyambung kembali tugas di meja studi. Masa untuk kembali berkarya. Doa saya agar saya sembuh daripada sebarang penyakit demi menyiapkan karya buat umat. Soalan daripada rakan-rakan menjengah masuk. “Bagaimana awak ingin mengurus rumahtangga ketika masih belajar? Susah kalau kahwin semasa belajar ni.”  “Masa muda ni la kita nak enjoy.”  “Seramlah nak kahwin ni. Takut cerai.”

Saya berfikir sejenak. Memang ada betulnya kata-kata mereka. Boleh katakan di unversiti hanya beberapa orang sahaja yang berkahwin muda. Fatwa hati saya, tak salah untuk mendirikan Baitul Muslim pada usia yang muda, asalkan sudah bersedia dari segi ekonomi, fizikal dan mental. Sesetengah orang menganggap bernikah itu seronok, tapi bukanlah bagi saya. Penuh tanggungjawab. Sebab itu banyak orang yang ‘lari’ daripada tanggungjawab ini. Kebanyakan anak muda memilih jalan yang salah untuk bahagia.  Couple, zina,  membuang bayi yang tidak berdosa yang dilahirkan ke bumi sangat meruntun hati saya. Keratan akhbar dan televisyen banyak menyiarkan tentang pembuangan bayi. Na’uzubillahi min zalik.

Si kecil merengek lagi. Kali ini rengekan berserta dengan tangisan.  “ Ma, ma… ehek, ehek..” Saya pergi ke katil bayi dan mengangkatnya. Rupa-rupanya dia mahu tidur di pelukan ibunya.  Nampaknya assignment saya terpaksa ditangguhkan dulu. Si kecil yang seorang ini perlu diberi perhatian. Saya melihat abinya sudah tertidur atas meja belajar. Dalam hati, saya berdoa moga-moga Allah berkati perkahwinan kami. Memang saya akui, susah untuk bernikah muda, tambah-tambah lagi jika sudah mempunyai anak. Tapi saya menganggap itu satu inspirasi untuk saya gigih belajar. Saya membawa si kecil bersama saya di meja studi. Sebelah tangan menggendongnya, sebelah tangan lagi menulis.  Nampaknya, si kecil ini mahu jadi penulis, 
detik hati saya. Usianya baru mencecah tiga bulan tapi sudah mahu berkarya.

Teringat kata-kata murabbiah, “wanita-wanita yang tidak baik untuk lelaki-lelaki yang tidak baik, lelaki-lelaki yang tidak baik  adalah untuk wanita-wanita yang tidak baik pula. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.” (An Nur:26). Saya tersenyum apabila teringat kata-kata itu. Selepas itu, tulisan daripada  teman sekuliah yang berada di dalam buku nota membuatkan saya terpana. Tulisannya sangat memberi makna kepada saya. ‘Jodoh dan sahabat merupakan cerminan kepada diri kita. Andai baik, maka baiklah Tapi sahabat dan jodoh juga boleh datang dalam bentuk ujian. Bersabarlah kerana itu semua bertujuan untuk mendidik hati kita.’ 

Sempat lagi saya membacanya sambil menepuk-nepuk badan si kecil. Imtinan Naura sudah berusia tiga bulan. Semakin cepat masa berlalu. Semakin cepat pula saya akan menghabiskan pengajian. Azam saya, untuk mendapat mendapat gelaran siswazah tak lama lagi. Kata-kata ilmuwan Islam, Omar Khayyam memberi keyakinan kepada saya. “Aku melihat hari semalam untuk memahami hari ini dan untuk mengerti hari esok.”    Saya tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Saya menulis sedikit peringatan untuk diri sendiri dan juga buat remaja-remaja di luar sana. Si kecil terlena di pelukan saya. Wahai remaja-remaja di luar sana, jauhilah zina. Sesungguhnya zina itu membawa kepada kerosakan. Natijahnya, anak-anak yang tidak berdosa dibuang di tepi jalan, dalam tong sampah, menjadi makanan anjing dan gigitan semut. Jika diberi kesempatan bayi ini untuk berkata-kata, pasti hati  sedih mendengarnya.

“Ibu, kasihanilah anakmu ini. Janganlah kau tinggalkan daku di sini. Apakah ibu mahu menambahkan dosa dengan membuang diriku? Tidak cukupkah zina yang ibu lakukan ditambah dengan kesalahan membuang anak ibu? Ku mohon padamu ibu, jagalah diriku, peliharalah daku. Janganlah kau biarkan diriku menjadi makanan binatang-binatang buas, gigitan serangga yang menghurung diriku. Ambillah daku sabagai langkah untuk ibu kembali menuju keampunan-Nya.” Saya peluk Imtinan Naura dengan erat. Saya usap ubun-ubunnya berkali-kali. Pastinya jiwa seorang ibu akan tersentuh melihat keadaan bayi-bayi yang tidak berdosa meninggal dalam keadaan yang menyayat hati. Saya bermohon kepada remaja-remaja yang sudah terjebak dengan zina, bertaubatlah kepada Allah. Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Bersihkanlah kembali dengan taubat nasuha, nescaya Allah akan menerima taubatmu. Jika kamu sudah terlanjur mempunyai anak, peliharalah dia dengan penuh kasih sayang. Jangan ditambah lagi dengan dosa membunuh dan membuangnya.

Assignment saya biarkan tersusun kemas di atas meja studi. Abi Imtinan Naura masih lena tidurnya. Rasa tidak sampai hati untuk menggerakkan dia. Saya mengambil keputusan untuk kembali berkarya  biarpun si kecil di pelukan saya. Hari-hari bersamanya merupakan detik yang paling indah. Doa saya, moga-moga Imtinan menjadi anak yang solehah dan menjadi orang yang berjasa kepada keluarga.

1 ulasan:

  1. Teringatkan si kecil yang kini dah bersekolah... sekejap masa berlalu...

    BalasPadam