Indahnya hidup dalam uhkwah dan suasana tarbiah.
Tidak mahu ku lepaskan saat indah-aktiviti secara berjemaah. Bukan sahaja sihat
dalam spiritual, bahkan luarannya juga. Diri ini tersenyum apabila teringat
sepotong hadis, Rasulullah bersabda mafhumnya “Sungguh ajaib perihal orang Mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka
adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang beriman
sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan
itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah
musibah itu kebaikan untuknya.” (Riwayat Muslim)
Sempat lagi diriku menulis sambil memerhati gelagat
sahabat-sahabat yang bergelak ketawa. Pen masih ligat untuk berkarya. Ummu kata
diriku mewarisi bakat dari abi. Sampai sekarang ku mencari jawapan. Kalau
kedua-dua belah tangan ini boleh menulis, mungkin kerja sekolah dah lama siap.
Ku gagahkan juga untuk menyiapkan karangan yang berbaki dua perenggan. Jika
ditangguh, alamat tidak siaplah jawabnya. Ku akui, diriku tidaklah sehebat
seperti ilmuwan terdahulu seperti Imam al Ghazali, Imam Ahmad dan imam-imam
lain. Tapi, karya mereka amat ku kagumi. Ulama yang terkenal seperti Prof. Dr
Yusuf al Qaradhawi menjadi idolaku.
Beliau sangat meraikan wanita dalam menentukan masa depan mereka. Moga-moga,
diriku juga sempat bertemu dengannya walaupun dalam mimpi. Amin.
Kakak senior datang kepadaku sambil membawa hadiah
coklat. Macam tahu-tahu saja. “Adik ni suka warna coklatkah? Kak tengok baju,
kasut pun warna coklat. Lagi satu, al-Quran pun warna coklat.” Aku tersenyum
saja. “Kebetulanlah akak. Adik pilih warna coklat ini pun secara tak sedar.
Ummu pun asyik kata dah berlambak baju warna coklat dalam almari.” “Tak apalah,
akak keluar dulu. Jangan lupa makan coklat yang akak bagi tu. Sebagai peneman
untuk bertinta. Maklumlah adik akak yang sorang ni nak jadi novelis,” katanya
sambil tergelak. “Ye, akak. Buat aktifkan sel-sel neuron dalam badan. Untuk
otak pun bagus tau.” Aku membuka kotak yang berisi coklat kegemaranku. Ada sticky note lagi. Kali ini kakak
mengambil kata-kata hikmah daripada penyair sufi yang terkenal iaitu Jalaluddin
al-Rumi. Kakak senior sangat prihatin. “Apabila kita mati, jangan dicari pusara
kita di bumi, tetapi carilah di dalam jiwa setiap manusia.”
“Na, marilah duduk
sekali dengan kita dekat bawah ni. Asyik berkepit dengan pen saja.
Bosanlah kalau Na tak ada.” Aku tersenyum. Seronoknya jika ada teman-teman
macam ini. Boleh diiktiraf sebagai sahabat. Di dunia dan di syurga nanti. “Na,
jom kita diskusi sikit. Nak tengok Na bercerita,” kata Sabrina dan Suha. “Wah, time-time lewat masih juga mahu diskusi.
Tak mengantukkah?” kataku. Jika mereka mahu tidur awal, diriku amat meraikan.
Bukannya apa, sudah pukul 12 tengah malam. “Nanti esok semua pakat-pakat tak
bangun qiam sebab mata tak larat nak celik,” tambahku lagi. “Esok cuti. Nanti
boleh sambung tidur lepas habis qiam. Na
jadi jam loceng kitaorang. Ceritalah, Na. Bedtime
story untuk malam ni. Please,” kata Suha. Aku meraikan ajakan mereka.
“Nak cerita
pasal apa pula kali ni?” tanyaku. “Kelebihan solat dhuha.” Hmm.. tahan sungguh otak mereka walaupun hari dah larut
malam.Walaupun diriku ini seorang yang biasa-biasa saja, tapi perbincangan
ilmiah ini boleh juga mengisi ‘makanan’ rohani yang agak kosong. Tak akan
kulepaskan peluang. Umpama mengisi
minyak petrol pada kenderaan. Diskusi
ilmu pun bermula. “Kejap. Kenapa tak suruh orang lain cerita saja? Kalau
ikutkan ini kali pertama Na diskusi dengan kalian ni. Rasa kecik pula.”
“Adik form 1 selalu cerita dekat kitaorang pasal Na selalu cerita
kisah-kisah nabi dekat mereka time
cuti. Kebetulan kita bertiga saja yang tak tidur malam ni. Bolehlah,” tambah
Sabrina. “Okay. Solat dhuha ni kita
lakukan pada waktu pagi, kira-kira pukul lapan pagi dah boleh mula. Tapi
sesetengah tempat ada yang mula awal daripada pukul lapan. Waktu dhuha ni
berakhir apabila dah nak dekat dengan waktu Zuhur. Selalunya, kita buat dekat
sekolah masa rehat kan?” “Betul. Tapi
tak puaslah. Waktu rehat tu singkat sangat. Nak minta pihak sekolah lajak
sikit. Kalau boleh waktu rehat biarlah setengah jam,” tokok Suha. Kami
tergelak.
“Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ‘Setiap tulang sendi seseorang menjelang
pagi memerlukan sedekah. Untuk itu, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid
adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah.
Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah, semua
perbuatan itu sama nilainya dengan dua rakaat solat dhuha.’ (Riwayat Abu Dzar).
Sebab itu ramai orang yang buat solat dhuha ni. Mereka menyedari akan
kepentingan solat dhuha.” “Ooo, begitu.
Lepas ni, kita semua imarahkan surau sekolah kita,” kata Sabrina. Rakan-rakan
yang lain turut menyertai kami bertiga. Makin ramai yang mahu mendengar ‘bedtime story’ yang tak formal ni. Kami
membentuk satu bulatan supaya semua orang mendapat ruang untuk mendengar. “Yang
ni semua pakat tak mahu tidur lagikah? Mesti dengar kami bertiga sembang.” “Kalau pasal ilmu yang bermanfaat, siapa yang
tak mahu melepas,” kataku. Diskusi diteruskan lagi. “Sabrina, boleh tolong
ceritakan tentang kelebihan solat sunat dhuha?” tanyaku lagi. “Boleh. Antaranya
ialah kita tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan seolah-olah seluruh
anggota melakukan kebaikan.”
“Na’am. Seolah-olah badan kita pun melakukan
sedekah. Bukankah itu baik? Lagi satu, Na nak cerita lagi kelebihan yang Na
suka. Siapa yang melakukan solat sunat dhuha ni, doa kita diperkenankan selepas
solat sunat dhuha.” “Wah, alangkah
beruntungnya orang yang berdoa selepas dia melakukan solat sunat dhuha.” Diriku
tersenyum sambil mata melirik ke arah kotak yang berisi coklat. Teringat pula
dekat kakak senior. “ Yang keempat, dimurahkan rezeki. Percayalah, rezeki itu
akan datang dari semua arah. Setiap kesusahan akan lahir kesenangan. Yang
sempit menjadi lapang. Dan yang miskin menjadi kaya.” “Kaya?” tanya Najah.
“Bukan sahaja kaya harta
benda, tapi juga kaya hati dan jiwa.”
Semua mengangguk.
“Yang kelima, diri kita dipelihara oleh Allah s.w.t.
dan terakhir sekali dihapuskan dosa kita. Walaupun itu hanya solat sunat saja,
tapi fadilatnya amat besar. Semua orang dah tahu kan macam mana nak buat?” “Dah. Lepas ni, kita buat ramai-ramai. Lagi
seronok.” Aku bertanya kepada Sabrina tentang hal diskusi selepas semua rakan
beredar. “Sabrina, dari mana datang idea nak cerita pasal solat sunat dhuha
ni? Cerciter sikit.” “Kami nampak nota yang Na selit dalam buku
nota Arab. Kalau boleh, nak salin kata-kata hikmah tu. Sangat memberi
inspirasi. Aku mengambil pen lantas menulisnya di sticky note. ‘Ada begitu banyak bukti keajaiban yang
tidak terduga daripada sikap istiqamah sang tokoh melalui solat Dhuha yang
didirikan. Tidak hanya sebagai benteng keimanan, namun sekaligus kejernihan
hati yang tenteram dan teduh bak telaga Kauthar.’ Sabrina gembira apabila melihat tulisan itu.
“Nanti dulu. Ada lagi yang Na nak bagi.”
Novel Demi Dhuha karya Muhammad Makhdori. “Ambillah novel ni. Kalau ada
masa senggang, boleh baca. Lagipun, ada masa lebih kurang sebulan lagi sebelum
kita pulang bercuti. Ambillah ye,” kataku. Dia tersenyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan