Usai
menghadiri prep malam, saya dan sahabat-sahabat yang lain bersiap-siap untuk
pulang ke asrama. Sahabat karib saya sedang ligat memasukkan buku-bukunya kedalam
beg. Saya masih tetap di meja belajar. Fikir saya, biarlah saya duduk di meja
belajar sedikit masa lagi. Bukannya apa, peperiksaan yang akan menjelang
semakin membuatkan saya tidak senang duduk. Buku-buku semakin berlambak dan
seakan-akan meminta untuk diisi. Saya beristighfar lagi sambil memandang kearah
rakan-rakan yang lain. Pukul 10.45 malam, barulah saya bergerak pulang ke
asrama. Saya berjalan melewati surau sekolah kami. Mata saya terpandang kearah
tempat sujud. Kemudian, kata-kata nasihat daripada Ustazah Norshimah menyinggah
masuk kedalam kotak fikiran saya. Katanya, “ Jangan lupa selalu mendirikan
solat tahajud. Kamu di sini amat bertuah kerana dapat belajar ilmu dunia dan
juga ilmu akhirat. Tapi, dalam sibuk-sibuk mengulangkaji pelajaran, hubungan
dengan Allah jangan sesekali kita abai. Allah yang menentukan kejayaan kita
bergantung kepada usaha dan tawakal kita kepada-Nya. Sia-sia saja kalau kita
bersungguh-sungguh belajar tapi Allah tak redha. Maka, seluruh hidup kita tidak berkat.”
Zupp!! Nasihat ustazah menusuk kedalam kalbu. Betapa
kecilnya jiwa tanpa diberi ‘makanan’ rohani. Hati tak tenang. Hidup dalam
kegelapan. Bahkan ilmu yang diterima ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga
kiri. Dalam hati saya berkata, ‘Wahai Tuhanku, berkatilah segala ilmu yang
dicurahkan kepadaku dan permudahkanlah segala urusanku di dunia dan di
akhirat.’ Setelah sampai di asrama, saya mula mempersiapkan diri untuk sambung
kembali mengulangkaji pelajaran di atas katil. Kebanyakan daripada rakan saya
memilih untuk berborak-borak sambil ketawa.
Saya fikir untuk tidak mencelah perbualan mereka. Itu fatwa hati saya.
Lagipun, kerja sekolah masih banyak dan semuanya perlu dihantar kepada cikgu
esok. “Bertuah kan kalau kita dapat
menjadi isteri si dia. Sudahlah alim, pandai mengaji dan yang paling aku suka,
suaranya sedap.” “Aku pun kalau boleh mahu menjadi isterinya
jugak. Handsome. Kalau tiap-tiap hari
tengok pun tak apa. Hilang rasa sedih
aku.” “Eh, mana boleh. Dia tu aku yang
punya.” “Emm, tak boleh. Aku cup dulu.”
Telinga saya menangkap perbualan mereka. Wahai
Tuhan, bantulah aku untuk menjaga hati.Semakin hari semakin susah untuk menjaga
hati. Kalau boleh, saya mahu menjalani
kehidupan yang sihat tanpa maksiat. Biasalah, apabila sudah meningkat remaja,
maka rasa untuk mencintai dan dicintai akan hadir. Bagi saya, ingin mencintai
dan dicintai itu tidak salah, asalkan kita meletakkan cinta Allah di nombor
satu. Apabila kita mencintai Allah, hakikatnya kita akan memiliki
segala-galanya. Inilah cinta yang tidak akan terpisah oleh ruang, jarak, masa,
harta dan kematian. Cinta Allah adalah cinta yang agung dan tidak setanding
dengan cinta pasangan kekasih.
Persoalannya, sejauh mana kita mencintai Allah? Saya takut jika cinta saya
kepada-Nya amat kecil. Banyak membuat maksiat. Terdedah kepada dosa setiap
hari. Namun, saya akui saya bukanlah nabi yang bersifat maksum. Tapi, sebagai
hamba-Nya, niat untuk membuat kebaikan mestilah bertambah setiap hari. Bukannya
menambah dosa pula.
Orang yang
betul-betul mencintai Allah tidak mampu “dimasinkan oleh kemasinan air
laut.” Walau bisikan syaitan membisik merdu di cuping telinga atau walau dunia
datang dalam rupa terhias indah, dia mampu membutakan mata, memekakkan telinga
dan buat-buat lupa dek kasih dan cinta kepada Allah. Walaupun kehidupan harian
seolah-olah dia terperangkap bagi memenuhi keperluan hidup, namun segala yang
dilakukannya hanya untuk menggapai redha Allah.
Bagaimana untuk mendapat cinta Allah? Cinta kepada Allah boleh
dibuktikan dengan cinta kepada Rasulullah. Tingginya kecintaan kepada
Rasulullah melambangkan tingginya cinta kepada Allah. Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad kepada kepada kaummu: ‘Jika kamu
(benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan
mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Ali ‘Imran 3:31)
Kebetulan, kakak senior mahu berjumpa dengan saya.
Kami banyak berdiskusi ilmu jika ada masa lapang. Saya mengajak kakak tersebut
masuk ke dalam kamar kami. Saya berasa
amat bertuah kerana masih ada orang masih mengambil tentang saya. “Adik mahu
bercinta? Mahu punya pacar?” Saya menggelengkan kepala. Kakak senior tersenyum.
“Alhamdulillah adik akak ni masih terpelihara. Banyak orang seusia adik memilih jalan
sebegitu dengan alasan tidak mahu berasa sunyi. Maklumlah ada orang tolong
‘tengok-tengokkan’ dan buat kita gembira,” tambah kakak senior. “ Tak ada istilah ‘gembira’ jika
jalan zina yang kita pilih,” kata saya. “Bagus. Nanti kalau ada syabab
mana-mana kacau adik, adik buat tak tahu saja. Jangan melayan. Nanti mereka merasakan
yang mereka sudah menang.” “Itulah yang adik buat sekarang. Lagipun, adik
tengok muda-mudi sekarang banyak yang tersilap langkah. Memilih jalan untuk bercouple daripada bernikah. Bukankah itu
haram?” “Ya, adik. Maksud surah al Isra’
pun ada menyatakan jangan mendekati zina dan jalan-jalan yang menuju kepada
zina. ”
“Kak, bagaimana pula kita memuji orang yang
berlainan jantina? Contohnya, pandai mengaji dan berqasidah. Adik banyak dengar
pujian itu daripada mulut kawan-kawan adik,” tanya saya. “Memuji itu tidak salah. Cuma, janganlah
terlalu berlebih-lebihan kerana dikhuatiri akan menjebakkan kepada sifat-sifat
buruk seperti riak, ujub dan takbur.” Saya berpuas hati mendengar jawapan
daripada kakak senior. “ Adik, akak nak berpesan lagi. Orang yang melakukan
dosa akan resah kerana sentiasa diburu rasa bersalah, bukan sahaja pada Allah
tetapi kepada diri sendiri.” Saya
mengangguk. “Akak nak tanya adik satu soalan. Adik ada meminati seseorang?”
Zupp!! Hati saya terpana seketika. Soalan daripada kakak senior sangat
mengejutkan saya. Mahu saja saya katakan yang saya tidak mahu menjawab soalan
itu, tapi saya menjawab juga pertanyaannya. “ Memang ada akak, Cuma adik tak
mahu dedahkannya kepada sesiapa, takut jadi fitnah. Biarlah adik simpan. Akak
tak marah kan kalau adik tak beritahu akak?”
“Tak, dik. Tapi adik kena ingat, hati kena jaga. Hubungan dengan Allah
kena jaga, barulah Allah permudahkan urusan kita. Dah dekat nak exam ni, jangan
lupa buat tahajud pula. Minta petunjuk pada Allah, moga-moga Dia bagi petunjuk.
Cinta kepada Allah ini kena lebih daripada semua benda, barulah high class,” tambah kakak senior lagi.
Saya tersenyum.
Kakak senior pernah menceritakan kepada saya tentang
sahabat karibnya yang selalu mendirikan solat malam, berzikir, membaca al-Quran
dan selalu berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Banyak sunnah Nabi yang dia buat.Kadang-kadang
dia selalu melihat kawannya itu tertidur di atas sejadah sambil memegang
tasbih. Sayu melihat. Rasa ingin berlumba-lumba melakukan kebaikan. Dia meletakkan
cinta Allah di nombor satu melebihi cintanya kepada benda-benda lain. Tanpa
disangka-sangka, apa yang dia inginkan semuanya dapat dalam sekelip mata.
Subhanallah! Allah Maha Penyayang. Dia memberi kebaikan yang datang dari
bermacam-macam arah. Saya kagum. Dia Maha Adil. Setiap kebaikan yang
dilakukan walau sebesar zarah akan dibalas dengan ganjaran pahala. Dan jika
setiap kejahatan yang dilakukan walau sebesar zarah akan dibalas juga samada di
dunia atau di akhirat. Hidupnya sangat bahagia. Saya mahu kehidupan seperti
itu.
Kami mengakhiri
perbincangan dengan selesa. Sempat lagi
kakak senior membacakan maksud firman Allah dalam surah al Zariyat ayat 56, “Aku tidak menciptakan
jin dan manusia melainkan mereka beribadah kepada-Ku.” Kakak itu menyambung lagi, “Dik, tugas kita di dunia special. Sebagai khalifah di muka bumi. Jangan sesekali kata yang tugas itu hanya untuk orang-orang yang ada jawatan saja. Contohnya, di sekolah kita ini hanya tugas BADAR atau MPP saja. Walaupun adik tidak memegang apa-apa jawatan pun di sekolah, tapi tugas adik sebagai daie tidak akan pupus. Kita di sekolah ini berjuang untuk menuntut ilmu, menuju redha Illahi, selagi itulah adik kena jalankan tugas adik sebagai pendakwah. Tapi, jangan hanya di sini saja. Tak kira dimana kita berada, selagi berpijak di muka bumi Allah ini, tugas sebagai daie tetap kita jalankan. La tahzan, akak tahu adik boleh. Lagipun, akak ni minat dekat adik . Seronok tengok muka adik.” Saya tergelak. Alhamdulillah, kakak senior sangat prihatin. Walaupun kami mengenali secara tidak sengaja, tapi ilmu yang dibincangkan sangat memberi manfaat. Saya berdoa agar kakak senior berjaya mencapai impiannya. AMIN ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan